KESETIAAN cinta pasangan merpati dua sejoli ini diuji sekali lagi. Kali ini yang dikatakan curang adalah si dewi pujaan hati apabila ada yang ternampak Memey Suhaiza berjalan berpimpin tangan dengan seorang lelaki. Apa yang pasti, lelaki yang dimaksudkan bukanlah jejaka yang menjadi pujaan di hatinya iaitu Norman Hakim.
Saat cerita itu tersebar, pastinya ramai yang terkejut sekali gus membuat andaian bahawa antara Memey dan Norman, kini sudah tinggal tinggal sejarah.Menguatkan lagi sangkaan itu adalah apabila Memey sendiri pernah menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas isteri Norman, Abby Abadi dan meminta wanita itu berbaik semula dengan bekas suaminya. Tindakan itu memang mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya apakah jodoh pasangan kontroversi sudah berakhir di pertengahan jalan.Berpeluang bertentang mata dengan Memey dan Norman ketika rakaman program Melodi Raya 2010 baru-baru ini, memberi kesempatan kepada Hip untuk menyelami hati mereka dan mengorek rahsia apakah benar kini sudah tidak sehaluan lagi ataupun apa yang berlaku adalah sekadar salah faham dan gosip semata-mata.
Seakan-akan sudah bersedia dengan persoalan yang ditujukan, Memey dan Norman berkata, semua cerita yang timbul sebenarnya tidak betul sama sekali. Sambil mengakui mengenali lelaki yang dikaitkan dengan teman wanitanya itu, bagaimanapun tegas Norman, apa pun yang terjadi, dia tidak pernah meragui kesetiaan pelakon jelita itu terhadapnya.
Hip: Sejauh manakah kebenaran gosip yang mengatakan Memey sudah ada teman lelaki baru?
Norman: Saya tahu ramai yang mahu bertanyakan soalan ini. Sebenarnya itu hanyalah spekulasi orang semata-mata. Semua itu tidak betul dan salah faham saja. Selepas 12 tahun dalam industri ini, saya anggap itu perkara biasa dalam dunia hiburan. Apabila menjadi artis, memang gerak geri kita menjadi perhatian masyarakat. Ini pengalaman hidup yang harus Memey tempuhi. Hari ini hari Memey, mungkin esok lusa hari saya pula. Jadi, biarlah orang nak kata, asalkan saya tahu kebenarannya. Yang penting, antara saya dan Memey masih seperti dulu.
Hip: Norman tidak meragui kesetiaan Memey?
Norman: Memey sudah menjelaskan kepada saya segala-galanya. Saya pun kenal lelaki itu. Dia kawan saya juga. Jadi dalam hal ini, bagi saya kejujuran adalah penting. Biasalah, bila kita rapat dengan orang, ada ketika orang boleh salah tafsir. Kalau hendak diikutkan, memanglah saya boleh marah Memey dengan apa yang berlaku, tetapi bagi saya, tak salah keluar dengan kawan sendiri. Mujurlah saya juga sudah kenal lama dengan Memey.
Hip: Apa perasaan Memey apabila gosip seperti itu timbul? Susah tak nak jelaskan pada Norman situasi sebenar yang terjadi?
Memey: Apabila mendapat tahu yang cerita ini tersiar di akhbar, tentulah terkejut. Mujurlah Norman tahu situasi sebenar. Saya dengan lelaki itu tiada apa-apa hubungan. Sekadar kawan biasa saja. Norman sendiri memang kenal lelaki itu. Antara saya dengan Norman memang tidak ada masalah. Walaupun kami pernah menunda tarikh pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai lalu, namun ia tak ada kena-mengena kononnya saya sudah memutuskan hubungan cinta dengan Norman.
Hip: Mungkin orang itu cuba nak potong jalan Memey daripada Norman?
Norman: Itu saya tidak tahu (ketawa sambil memandang ke arah Memey). Nasihat saya kepada Memey selepas ini, dia kena lebih hati-hati pada masa akan datang. Jadikan apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran. Lagi pun, saya layan Memey dengan sebaik-baiknya, macam layan anak-anak saya. Jadi mungkin disebabkan itu Memey agak selesa berterus terang. Cuba kalau saya layan dia seperti teman wanita, mesti gaduh besar rasanya.
Hip: Tak risau ada orang lain rampas apabila bercinta lama-lama?
Norman: Sebenarnya, kami memang sudah lama bersedia untuk berumah tangga. Insya-Allah selepas hari raya nanti, keluarga kami akan berbincang dan akan menetapkan tarikh bila yang sesuai untuk kami berdua disatukan. Kalau boleh kami ingin diijabkabulkan tahun ini juga. Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada keputusan kedua-dua orang tua nanti. Kalau ikutkan hati, saya mahu nikah saja teru,s tetapi mengenangkan ini adalah perkahwinan pertama Memey, jadi saya rasa biarlah dia melalui detik-detik manis seperti bertunang terlebih dulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: