![]() |
| Baju tajaan Butik PU3, The Curve Damansara. Solekan oleh Azmi Jaffri (Seni Warisan Artistic). |
LEBIH sedekad penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Diusung Duka, Illyka mengasingkan diri dari gelanggang seni.
Selama tempoh itu, tumpuannya lebih banyak diberikan pada kerjaya sebagai pelakon iklan dan drama.
Bahkan, sebagai mengisi ruang masa yang ada, Illyka juga aktif sebagai hos rancangan televisyen selain menyanyi di hotel.
Ada rungutan di kalangan peminat yang tertanya-tanya apa benar dia merajuk dengan industri hiburan.
Jawab Illyka, tidak ada sebab untuk dia merajuk atau membawa diri.
"Saya tidak menghilang ke mana-mana. Saya masih menyanyi cuma mungkin kerana tidak muncul di mana-mana majlis mahupun keluar televisyen maka orang ingat saya menghilangkan diri," katanya menjawab pertanyaan ramai.
Strategi terbaru Illyka di persada seni sebagai mengubat kerinduan peminat-peminatnya ialah muncul dengan single terbaru, Sistematik.
Kemunculan semula penyanyi yang bernama sebenar, Zuraila Mohamed Yassin, 38, itu ibarat penjenamaan semula dirinya apabila kemunculan kali ini dilihat cukup berbeza dengan apa yang pernah ditonjolkannya ketika awal kemunculan.
Bergelar isteri kepada Datuk Ahmad Azizi, penyanyi bergelar datin, status itu bukan penghalang buatnya.
Bagi sesetengah orang, status yang dipikul barangkali sukar untuknya bergerak aktif menyanyi seperti awal kemunculannya dahulu.
Namun, kata Ilyka dia cukup bertuah kerana keinginannya untuk kembali merakamkan lagu mendapat keizinan daripada suaminya.
"Suami saya tahu saya kerja memang serius. Malah, di rumah juga saya memang lasak buat kerja dan pandai berdikari.
"Dia (suami) sentiasa memberikan sokongan kepada saya malah, pada hari saya ada pengambaran mana-mana drama juga dia akan datang memberikan sokongan kepada saya," kata penyanyi yang turut mengusahakan butik D'Impian di Kajang bersama saudaranya sejak dua tahun lalu.
Kerana kepercayaan yang diberikan suami membuatkan Illyka enggan mengecewakan lelaki yang disayanginya itu.
Illyka bertuah kerana Ahmad Azizi merupakan pendorong utama buat dia kembali aktif sebagai penyanyi rakaman.
'Kelahiran' semula Illyka
Sebetulnya, beberapa tahun lalu, Illyka pernah muncul dengan single Bila Ada Denganmu ciptaan Ajai.
Namun, kata Ilyka, barangkali ketika itu masa tidak begitu sesuai untuk dia mempromosikan lagu tersebut membuatkan tidak ramai yang menyedari kehadirannya.
Mujur dia diberi kekuatan beserta motivasi untuk muncul dengan album baru.
"Sebelum ini, ramai juga yang bertanyakan kepada saya mengapa tidak kembali merakamkan lagu-lagu terbaru.
"Bukan tidak yakin untuk merakamkan lagu-lagu baru cuma saya perlu mencari masa yang sesuai dan mengkaji sejauh manakah penerimaan peminat nanti," katanya pada pertemuan yang berlangsung cukup santai di pejabat Hits baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai kemunculan semulanya, Ibu kepada Arisya Ahmad Azizi, 7, nekad untuk kembali menguasai persada seni berbekalkan single baru, Sistematik.
Ia ternyata berbeza dengan single sebelum ini yang melodinya agak perlahan dan ini sedikit sebanyak memberikan lebih warna kepada profil nyanyiannya.
Sistematik dianggap sebagai percubaan buatnya kerana inilah julung-julung kali dia menyanyikan lagu bergenre sedemikian.
"Untuk mencari sesuatu yang segar dan lain daripada sedia ada tentulah memakan masa yang bukan sedikit.
"Saya sebenarnya tiada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu rancak malah, lagu-lagu rancak sesiapa pun boleh menerimanya biarpun berbeza latar umur," jelas Illyka penuh optimis.
Illyka juga menjelaskan, bukan dia enggan muncul dengan lagu baru lebih awal lagi.
Sebaliknya, apa yang membataskan dia berbuat demikian ialah kesukarannya mencari syarikat pengurusan yang baik selain keselesaannya menyanyi di hotel.
"Menyanyi di hotel memberikan saya kepuasan tersendiri. Saya boleh menyanyi hingga 30 buah lagu satu malam malah, hari-hari saya boleh menyanyi secara live.
"Daripada situ saya berjumpa dengan ramai orang dan daripada situ juga saya mengumpul pelbagai pengalaman dalam nyanyian.
"Memanglah apabila lagu dan bakat tidak begitu dipandang ketika muncul dahulu membuatkan saya rasa kesal tetapi mungkin juga ketika itu ada faktor-faktor sampingan yang menyukarkan diri saya untuk lebih dikenali," ujar Illyka.
Sebagai penyanyi, apa yang diharapkan olehnya kemunculan kali ini memberi sirna baru dalam merencana perjalanan seninya pada masa akan datang.
Selesa berambut pendek
Alang-alang membuat kemunculan semula sengaja persoalan tentang pembawakan imejnya diutarakan.
Sejak awal kemunculannya, Illyka memang antara artis yang tidak pernah merubah fesyen rambutnya lebih panjang ke paras bahu.
Sambil ketawa kecil wanita yang wajahnya tidak dimamah usia ini memberitahu, dia hanya berambut panjang ketika zaman remajanya sahaja.
Bagi individu yang gemarkan gaya serba ringkas ini, berambut pendek lebih memudahkan dirinya untuk membuat keputusan tentang penampilan dan gaya pemakaiannya saban hari.
"Saya memang bukan wanita yang jenis terlalu kewanitaan. Bagi saya imej begini menjimatkan masa untuk saya hendak berdandan kemana-mana sahaja. Ia mudah dan sangat ringkas," jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: