![]() |
| WAKIL SK Sementa mempamerkan ciptaan kreatif yang melayakkan mereka menjadi juara Paddle Pop Elemental Warriors Quest 2010 di Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini. |
SUBANG JAYA - Sekolah Kebangsaan (SK) Sementa muncul juara pada pertandingan akhir Paddle Pop Elemental Warriors Quest 2010 di Pusat Beli-belah Sunway Pyramid, baru-baru ini dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM5,000.
Sekolah dari Klang, Selangor ini berjaya mengetepikan cabaran daripada 35 buah sekolah lain melalui ciptaan air terjun yang dikelilingi suasana keindahan hutan pada pertandingan berinspirasikan alam semula jadi itu.
Pengurus Kanan Jenama Wall's Aiskrim, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Chan Meng Yang berkata, pertandingan itu merupakan program pendidikan sekolah untuk menyedarkan kanak-kanak terhadap pentingnya perlindungan alam sekitar dan memahami peranan dalam usaha mengekalkan imbangan ekologi alam semula jadi.
"Kami mahu menggalakkan mereka memulakan usaha ini sejak dari kecil dan mengambil langkah mereka sendiri untuk memastikan keselamatan bumi kita untuk masa akan datang.
"Apa yang lebih penting, kami mahu melihat mereka ini menjadi pejuang alam sekitar dan membantu menanamkan kesedaran alam sekitar di kalangan rakan dan masyarakat di sekeliling mereka," jelasnya.
Menurutnya lagi, sambil menyebarkan kesedaran alam sekitar, pihaknya juga ingin menggalakkan kreativiti dan semangat setia kawan dan kerjasama berpasukan di kalangan kanak-kanak dan meningkatkan interaksi antara mereka dengan guru serta keluarga.
"Kami gembira kerana kami dapat menyediakan saluran yang menarik penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan mereka membangunkan kemahiran, membina keyakinan dan menyedari pentingnya keselamatan alam sekitar," kata Chan.
Sementara itu, ketua pasukan SK Sementa, Raiz Aiman Md. Rashidan, 12, berkata, hasil seni kraf kami menggambarkan pentingnya air untuk mengekalkan kehidupan di bumi.
"Hasil karya sekolah itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan menggunakan dulang telur, daun, batang pokok, ranting, kaca, batu serta batang dan pembungkus aiskrim Paddle Pop," katanya.
Pasukannya turut dianggotai oleh tiga lagi murid iaitu Muhd. Dimie Shazwan Azman, 11; Muhd. Nazreen Shahmmi Amir, 10 dan Norman Shah Shahrudin, 10.
"Kami mendapat inspirasi untuk mencipta pemandangan indah dalam hutan melalui gambar pemandangan cantik, tenang dan tenteram yang terdapat di rumah guru kami," kata Raiz Aiman.
Naib juara pertandingan pula ialah SK Abdul Samat, Klang yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh SK Taman Melawati (2), Kuala Lumpur yang memenangi RM2,000.
Pada pertandingan tersebut, murid-murid sekolah rendah memperlihatkan karya mereka berasaskan empat tema alam sekitar iaitu kincir angin, gunung berapi, air terjun dan hutan hujan yang diperbuat daripada batang dan pembungkus aiskrim Paddle Pop dan bahan kitar semula yang lain.
Pemenang dipilih berasaskan hubung kaitnya dengan tema, konsep keseluruhan dan kreativiti dalam menggunakan bahan kitar semula.
Paddle Pop Elemental Warriors Quest 2010 bermula pada April lalu dibuka kepada 150 sekolah rendah di seluruh Lembah Klang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: