KUALA LUMPUR: Majlis Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah di bawah naungan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) akan berlangsung pada 2 Oktober ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ketua Pegawai Eksekutif YDSM, Dr. Mazman Sulaiman berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan untuk menambah dana YDSM bagi membantu golongan yang susah dan memerlukan.
"Setakat ini kami telah menerima sebanyak RM700,000 dari tiket yang sudah dijual dan sasaran kami RM1.6 juta yang akan terkumpul hasil kerjasama sektor sektor korporat.
"Selain itu, YDSM amat mengalu-alukan sambutan para dermawan terhadap pembelian meja, penjualan buku Dirgahayu Tuanku - Sejarah Tiga Abad Kesultanan Terengganu dan juga lelongan lukisan-lukisan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penyumbang dan warga istimewa, Simfoni Amal Diraja.
Jelasnya dana yang terkumpul itu akan dibahagikan kepada golongan ibu tunggal, anak yatim dan nelayan.
Majlis yang bertemakan 'Harmoni Itu Indah' juga akan menyatukan semua rakyat Malaysia berbilang kaum.
Seramai lima orang artis iaitu Alyah, Farhan, Yassin, Fazli Zainal, Jay Jay dan Sarimah Ibrahim terlibat dalam program berkenaan.
YDSM telah ditubuhkan pada 19 Julai 2005 yang bertujuan merealisasikan iltizam Tuanku Mizan untuk berbakti kepada rakyat yang memerlukan.
Sejak penubuhannya, YDSM telah mengadakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.
Antaranya menyokong dan membantu pengekalan identiti seni dan budaya bangsa seperti menjamin kesinambungan seni kraf Terengganu, disamping program-program murni seperti membela nasib anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, para petani dan nelayan yang memerlukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: