![]() |
| RASMI... Sheila menerima plak penghargaan sempena pelancaran album Sinaran Raya daripada Naib Presiden MasterCard Worldwide, Soong Chok Mun di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
SELAMA menjadi anak seni sejak suku abad yang lalu, dia memasang angan-angan yang cukup tinggi untuk mengadakan sebuah konsert dengan diiringi orkestra.
Baginya, apabila dapat menghiburkan peminat dengan muzik sedemikian, ia memberikan kepuasan yang tidak terhingga untuknya sebagai seorang penghibur.
Kini, Datuk Sheila Majid tidak perlu lagi bermimpi kerana dia bakal bersenandung dalam sebuah konsert eksklusif di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) selama dua malam berturut-turut bermula 1 Oktober ini.
Buat julung kalinya juga, dewan penuh prestij itu akan menjadi saksi kehadirannya membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
Sebetulnya, ia bukanlah kali pertama penghibur ternama itu menjejakkan kaki di DFP kerana Sheila pernah menghiburkan penonton di situ sekitar sedekad yang lalu menerusi satu siri persembahan jazz.
"Memang ini bukan satu mimpi lagi buat saya dan sudah lama saya pendam hasrat ini untuk membuat persembahan diiringi orkestra.
"Apa yang membanggakan saya, yang bakal mengiringi persembahan saya nanti bukan calang-calang kerana MPO merupakan salah sebuah kumpulan orkestra terbaik di Asia Tenggara.
"Bohong kalau saya mengatakan saya tidak teruja dan gembira dengan peluang yang diberikan ini. Saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk beraksi di DFP," katanya yang memberitahu tiket-tiket sudah mula dijual sejak 23 Ogos lalu.
Untuk persembahan selama dua malam itu, Sheila bakal mempersembahkan hampir 20 buah lagu-lagu popularnya sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.
Namun, ia akan diberikan susunan muzik yang baru oleh suaminya, Acis dengan bantuan Ahmad Muriz Che Rose dan bakal diketuai oleh Kevin Field selaku pengendali.
Sheila mengkhabarkan berita gembira itu kepada pihak media pada majlis pelancaran album raya, Sinaran Raya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: