DIAM-DIAM ubi berisi, semakin berisi semakin tunduk. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan mengenai penghibur kesayangan ramai, Ziana Zain! Sekalipun sudah hampir dua dekad dia menghambakan diri dalam dunia seni dan layak diangkat sebagai diva, namun istilah mendabik dada tanda kemegahan dengan kejayaannya, tidak pernah wujud dalam diari penyanyi dan pelakon berkening lentik ini.
Sekalipun lama menyepikan diri lantaran kesibukannya mengurus keluarga, selain berehat panjang selepas melahirkan anak kembarnya lebih setahun lalu, nama Ziana tidak pernah padam di hati peminatnya. Dia masih ‘bergetah’ dan ‘segar’ atau lebih ringkas digelar hot mama! Walaupun tidak aktif lagi di persada hiburan, namun tawaran pertunjukan pentas, mahupun lakonan tidak pernah putus, dia sentiasa on demand.Filem terakhir lakonannya ialah Qabil Qusry Qabil Igam dan selepas itu lama Ziana mendiamkan diri daripada muncul di skrin lebar. Entah apa ‘ilmu’ yang dipakai oleh KRU Studios, akhirnya Ziana berjaya disunting Edry untuk membintangi filem pertama arahannya, Magika. Ketika menerima pelawaan berkenaan, Ziana sedang mengandung anak kembarnya, usia kandungannya ketika itu empat bulan! “Memang saya begitu teruja dengan tawaran Edry. Magika adalah sebuah filem yang unik, saya belum pernah diberi jalan cerita dan watak seumpamanya. Tak ada lagi sendu-sendu seperti filem lakonan saya sebelum ini. Sebab itu saya katakan, Magika memberi kelainan begitu ketara. Justeru, sekalipun sedang mengandung, saya tak mahu melepaskan peluang ini dan terus menerima tawaran Edry.
“Saya diberi watak sebagai Nenek Kebayan yang vogue! Perlu garang, tak ada langsung rasa simpati walaupun terhadap kanak-kanak. Yang penting, tujuan Nenek Kebayan ialah melariskan jualan jamu hasil daripada air mata kanak-kanak! Memang seronok saya menjayakan karektor berkenaan. Lagipun, Magika menitikberatkan soal mitos dan legenda Melayu yang boleh dijadikan rujukan oleh generasi muda.
“Apa yang saya perhatikan, kanak-kanak hari ini lebih terdedah kepada siri kartun atau superhero negara luar, padahal orang Melayu ada superhero yang hebat seperti Badang! Justeru, menerusi Magika, banyak kisah dulu kala masyarakat Melayu ditampilkan seperti Mahsuri, Puteri Gunung Ledang, Pak Pandir, Bawang Putih Bawang Merah dan ramai lagi.
“Mitos dan legenda Melayu ini tidak harus dilupakan dengan kepesatan teknologi hari ini. Ketika menjayakan watak Nenek Kebayan, apa yang saya imiginasikan, berjaya diterjemahkan dan Edry sebagai pengarah memberi kebebasan kepada saya membentuk karakter itu. Saya yakin, Magika akan menjadi satu fenomena kepada industri perfileman tempatan apabila ia menjengah pawagam September ini,” kata Ziana yang turut menyanyikan beberapa lagu dalam filem berkenaan.
Sekalipun Mawi dan Diana Danielle memegang watak utama dalam Magika, namun apabila melihat poster filem itu, gambar Ziana yang paling besar dan lebih menonjol. Ini membuktikan, kemunculan Ziana diharap menjadi pemangkin kepada filem berkenaan untuk mencipta kutipan box-office. Aura yang dimiliki Ziana ketika zaman kegemilangan filem Sembilu terbitan Skop Productions suatu ketika dulu, nampaknya terus berbisa sehingga ke hari ini!
Terang Ziana lagi, disebabkan kesibukannya mengurus keluarga, bidang lakonan terpaksa diberi batasan kerana kekangan waktu yang dituntut di lokasi. Namun, sekiranya diminta menyanyi, Ziana selagi boleh cuba untuk tidak menghampakan peminatnya. Sebagai bukti, Ziana tetap menjayakan program realiti nyanyian, Mentor 4 dan protegenya, Mohamad Izwan Mohamad Noor atau Mohd terus dinobat sebagai juara!
Tidak dinafikan, memang sukar memujuk Ziana menjayakan fotografi sekiranya tidak bersangkutan dengan kerjaya. Bayangkan betapa lamanya wajah Ziana tidak diabadikan sebagai penghias muka depan B*Pop dan hanya menerusi ‘pasport’ Magika, Ziana bersedia menjayakan sesi fotografi yang diatur khas untuknya semata-mata, bukan bertemunya di majlis rasmi mahupun di pentas nyanyian.
Pun begitu, apabila bekerja Ziana memberikan 100 peratus komitmen - menepati waktu, sporting dan sikap mesra media tidak pernah luntur.
Artis muda alami kejutan budaya
Terdetik bertanyakan soalan kepada Ziana, apakah resipi kejayaan yang membolehkan dia terus bertahan hingga ke hari ini, sekali gus bertakhta di hati peminatnya? Ringkas saja jawapan Ziana, segala apa yang diperolehnya hari ini adalah rezeki anak-anak dan disiplin diri.
“Seperkara lagi ialah keikhlasan apabila kita melakukan sesuatu perkara itu. Barulah rezeki kita diberkati Tuhan. Selain itu, imej kena jaga, apalah salahnya kita melaburkan sedikit wang untuk memelihara penampilan kita. Begitu juga hubungan dengan peminat, harus diberi keutamaan, jangan sekali-kali menghampakan mereka. PR (perhubungan awam) pun kena jaga, bukan saja dengan peminat mahupun media massa, bahkan mereka di sekeliling kita.
“Saya juga percaya dengan nasib. Mungkin nasib saya lebih beruntung. Berkat doa daripada ibu bapa dan peminat, saya dilimpahi rezeki,” kata Ziana terus merendah diri.
Apa komen Ziana dengan segelintir artis generasi baru yang tidak menitik beratkan soal imej dan sering mencetuskan kontroversi sehingga menenggelamkan kerjaya mereka, apa yang dipaparkan kepada peminat, hanyalah cerita keburukan diri masing-masing.
“Kadang-kadang saya hairan, kebanyakan artis yang muncul hari ini, jarang yang ‘melekat’, maksudnya tidak bertahan lama. Mungkin juga disebabkan kejutan budaya, ramai artis yang kecundang di persada seni di awal kemunculan mereka. Artis berperangai tak senonoh pun ramai. Bagi saya, mereka jadi begitu sebelum bergelar artis lagi, kini apabila dah jadi artis, perangai negatif turut dibawa bersama,” katanya lagi.
Keharmonian rumah tangga Ziana bersama Armin terus bertahan selama 12 tahun, tidak seperti rakan artis lain, rata-rata perkahwinan yang dibina berkecai di pertengahan jalan. Justeru, apa yang sering diamalkan Ziana dalam mengekalkan kerukunan rumah tangganya?
“Bagi saya, antara suami isteri perlu ada perbincangan dan komunikasi, selain toleransi. Mesti ada perbincangan daripada hati ke hati, jangan sekali-kali berahsia. Berprasangka buruk dengan pasangan masing-masing pun tak boleh. Cemburu tetap ada, tapi jangan cemburu buta! Insya-Allah rumah tangga kita akan diberkati Tuhan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: