Sunday, August 22, 2010

Seri klasik, gaya moden

pix_gal0
LUMRAH suami isteri berlawanan pendapat kala menetapkan gaya penataan dan kelengkapan kediaman namun sekiranya kedua belah pihak sudi bertolak ansur, hasilnya bukan saja keinginan dan cita rasa dipenuhi bahkan kediaman tampil unik menerusi dua olahan hiasan dalaman.

Yanuar Maulana menyukai gaya klasik yang disifatkannya anggun dan melangkaui zaman sedangkan isterinya, Yusasniza Mohd Yunos tertawan dengan moden kontemporari mewakili usia muda selain seni bina kediaman semasa ditampilkan.Pasangan suami isteri berkenaan menyedari pertentangan minat berupaya menimbulkan celaru khasnya ketika menentukan konsep kediaman, menyediakan perabot selanjutnya memilih aksesori pelengkap. “Mujur kami berdua tidak cepat melatah sebaliknya berusaha mencari titik pertembungan yang berupaya menyatukan cita rasa. Selepas berbincang, kami sepakat mencuba keduanya iaitu di tingkat bawah dihias gaya klasik mengikut keinginan suami manakala ruang menonton dan pejabat mini di tingkat atas terpulang kepada selera saya,” kata Yusasniza yang memilih mencuba moden kontemporari di ruang berkenaan.

Gaya semasa bagi Yusasniza selain mudah dicarikan perabot dan perhiasan juga memenuhi seleranya yang menyukai hiasan dalaman mampu menterjemahkan aliran terkini, ringkas serta berlatar belakangkan warna selamat berupa hitam, putih, coklat dan krom.

“Saya berjaya memujuk suami menyelitkan elemen moden di kediaman kami. Pun begitu, kebebasan diberikan tidak disalahgunakan sebaliknya sedaya berusaha dicari penyesuaian dengan gaya klasik diminati suami. Saya menemukan persamaan melalui pilihan warna yang mengambil inspirasi alam seperti coklat, putih dan hitam.

“Secara kebetulan, warna seumpamanya digemari kami berdua berdasarkan sifatnya yang memberikan ketenangan, terapi mata juga membuatkan ruang nampak berganda luas dan lebih terbuka,” kata pensyarah sebuah institusi pengajian tempatan itu yang masuk tahun ketiga menetap di rumah berkembar di Bandar Tasik Permaisuri yang terletak di pinggir ibu negara.
Usaha menzahirkan gaya klasik diperlihatkan melalui pilihan set perabot kayu serta kulit asli yang didatangkan dalam saiz besar dan rekaan mewah estetika.

Kata Yusasniza, perabot berkenaan ditemukan di sebuah kedai perabot terkemuka selepas beberapa lama mencari. Dibeli sekali harung, bagaimanapun bagi mengelakkan pembaziran, ukuran ruang serta sudut diambil dulu sebelum menetapkan jenis serta bilangan perabot bakal dibeli.

“Dalam teruja membeli perabot baru, kami saling mengingatkan supaya yang dibeli berbaloi selain menepati fungsi serta kegunaan. Ukuran ruang perlu dikenal pasti mendapatkan gambaran awal jumlah set perabot patut dibeli, kesesuaian rekaannya dengan luas ruang, kemasan serta aksesori namun paling penting, selesa digunakan oleh keluarga kecil kami,” katanya selepas menyelesaikan persoalan pilihan perabot, mengambil keputusan menggunakan khidmat rundingan D’Nora Creative Enterprise untuk kertas dinding serta aksesori tambahan penyeri sudut serta penjuru.

Katanya, selepas menyempurnakan susun atur perabot, baru disedari dinding nampak hambar tanpa hiasan. Meskipun, sebelum ini dia bertanggapan hiasan dinding keterlaluan menyemak mata namun keadaan dinding kosong lebih menyedihkan kerana menyebabkan kediaman lenyap jiwa dan karektor.

“Selain bermatlamat cantik dan mengemukakan karektor ruang, kertas dinding turut berfungsi melindungi permukaan dinding daripada ancaman kulat, cuaca dan sebagainya. Selain itu, ia berkesan dalam menyembunyikan kecacatan dinding,” katanya yang mengisyaratkan warna kertas dinding perlu sedondon perabot untuk keseragaman gaya.

“Norazita Abdullah (D’Nora) banyak membantu mendapatkan padanan serasi kertas dinding dengan perabot. Jujur saya katakan, baru awal tahun ini kami memikirkan untuk memasang kertas dinding. Itupun selepas jelak dan jemu memandang dinding kosong. Bukan tidak terlintas menambah aksesori dinding tetapi suami menegah kerana dianggapnya serabut. Katanya, dia hanya bersetuju dengan kertas dinding saja berikutan warna dan motif ditampilkan kemasan itu tidak menggugat keseluruhan tata hias,” kata ibu seorang cahaya mata perempuan, Yasmeen Putri Maulani, 3, ketika mengulas lanjut pilihan kemasan kertas dindingnya.

Selain itu, baik Yusasniza mahupun Yanuar menyatakan berpuas hati dengan pelan lantai rumah. Justeru, mereka tidak merancang melakukan pengubahsuaian besar-besaran melainkan memperbesar bilik air dan mengganti jubin sedia ada kepada jenis berkilat namun lebih selamat dipijak.

“Saya tertarik dengan jubin berkilau kerana ia memberi impak bersih dan segar bagi ruang terhad. Selain itu, saya akan mempertahankan seni bina dan pelan asal rumah ini sehinggalah muncul ilham baru yang memerlukan saya mengubahsuai rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: