Katanya, bukan bermakna dia kini mampu hidup bebas umpama burung, sebaliknya hatinya lebih tenang tanpa perlu memikirkan perkara negatif serta perasaan orang yang berkongsi hidup dengannya.
"Hubungan Nana dengan Faizal baik saja, tidak seperti kami mula-mula bercerai kira-kira setahun yang lalu. Kami mula berbaik-baik sejak beberapa bulan yang lalu. Begitupun, tidak bermakna Nana kini sudah bersedia untuk bertemu dengan isteri barunya. Maklumlah, bukan mudah untuk berdepan keadaan itu, kerana Nana pernah berkongsi hidup dengan lelaki terbabit," katanya.
Ditanya apakah dia sendiri tidak teringin untuk menaiki pelamin sekali lagi, seperti dilakukan bekas suami, penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit ini berkata, selagi mana dia tidak dipertemukan dengan calon yang sesuai, selagi itulah dia tidak kisah hidup bersendirian.
Baginya, perkahwinan kali kedua biarlah menjadi ikatan yang berkekalan ke akhir hayat. Justeru, dia benar-benar berharap jodohnya nanti adalah dengan lelaki yang berpekerti mulia, demi kerukunan rumah tangga.
"Jika boleh, Nana tidak lagi mahu bercinta dan berkahwin dengan artis," katanya yang mengaku tidak mempunyai kekasih pada waktu ini.
Begitupun, artis kelahiran Negeri Sembilan ini tidak menafikan beberapa lelaki cuba mendekati dan menghulurkan persahabatan mereka kepadanya.
"Bukanlah mereka lelaki yang tidak baik, tetapi mungkin pada waktu itu hati
Nana belum terbuka untuk menerima cinta baru selepas segala apa yang berlaku dalam perkahwinan pertama," ujar penyanyi yang turut dikenali menerusi kemunculan secara duet bersama arwah Achik Spin.
Saat ini, mungkin satu-satunya lelaki yang betul-betul bertakhta di hatinya ialah cahaya mata tunggal hasil perkongsian hidup bersama Faizal, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2 tahun 5 bulan.
"Ayyan (panggilan manja untuk anak lelakinya) kini sudah pandai merajuk. Maklumlah, dia pun sudah boleh bercakap. Malah, ada masa dia akan bercakap tanpa henti-henti. Dia sememangnya seorang yang peramah, sikap yang diwarisi daripada bapanya. Nana bernasib baik kerana Ayyan bukanlah anak yang banyak kerenah.
"Bagi Nana, dialah satu-satunya permata hati yang membuatkan segala penat lelah hilang, setiap kali wajahnya dipandang," katanya yang kini lebih setahun bekerja sebagai kaunselor pendidikan di City University College of Science and Technology, di Petaling Jaya.
Namun, Nana agak sedih apabila mengenangkan 1 Syawal tahun ini akan disambut tanpa anak lelakinya. Pada tiga Hari Raya pertama, Rayyan beraya bersama bekas suami.
"Ayyan akan hanya menyambut Syawal bersama Nana selepas tiga hari dengan bapanya. Tahun ini, Nana belikan baju kasual untuknya, kerana baju Melayu disediakan oleh Faizal.
"Kami sebenarnya bergilir-gilir menjaga si kecil ini. Nana akan menjaganya selama 18 hari dan Faizal pula 10 hari, dalam sebulan. Ayyan juga nampaknya selesa dengan aturan itu," kata Nana yang mengaku sekali-sekala dia juga dihimpit kebosanan apabila hidup tanpa pasangan.
Bakal muncul dengan album kompilasi
MENYENTUH soal kariernya, Nana menegaskan dia kini membahagikan masa sebaik-baiknya antara dunia seni dan kerjayanya di kolej berkenaan. Kedua-duanya amat disayangi artis ini, walaupun dia berasakan, seandainya dunia nyanyiannya kembali meriah dengan kemunculan produk terbaru, ada kemungkinan kerjaya sebagai kaunselor pendidikan terpaksa dilepaskan.
Selepas Aidilfitri ini, Nana dijangka muncul dengan sebuah album kompilasi yang memuatkan 10 lagu. Selain lima lagu yang sudah lama dirakam tetapi belum pernah dimuatkan dalam mana-mana album, turut disenaraikan untuk produk terbaru itu ialah sebuah lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, serta empat lagu petikan album terdahulu.
Kali terakhir penyanyi ini muncul dengan album solo adalah pada 2004, menerusi album Pelangi. Empat tahun lalu, dia dan Achik tampil bersama album duet, Benang Emas. Nana turut mempunyai album kompilasi berjudul Cahaya Kasih, pada 2007.
"Nana juga baru saja menghabiskan penggambaran siri Aku Budak Minang 2 yang turut dibintangi Joey dan XY Zahari. Babak membabitkan Nana tidak banyak, manakala penggambaran pula dilakukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," katanya mengenai siri yang berkemungkinan besar ditayangkan pada penghujung tahun.
Sebelum ini, Nana pernah mengasah bakat lakonannya menerusi beberapa telefilem VCD seperti Helah, Prahara, Tiga Dara Pingitan dan Wad 04.
"Nana memang minat untuk berlakon. Cuma ketika berkahwin dulu, bekas suami kurang menggalakkan kerana dia tidak mahu Nana penat. Katanya, biarlah Nana menimba pengalaman dan belajar seni lakonan terlebih dulu jika benar-benar ingin bergelar pelakon.
"Sekarang, Nana bersedia untuk menimbangkan mana-mana tawaran yang datang, asalkan penggambarannya tidaklah mengambil masa panjang sampai berbulan-bulan. Nana masih mempunyai kerjaya lain selain menyanyi dan berlakon," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: