Thursday, August 5, 2010

Rohana bukan isteri kedua



TANJONG KARANG - "Anak saya bukan isteri kedua kepada Datuk Abdul Aziz Mohd Noh. Dia hanya menjalankan kerjayanya sebagai kerani atau pembantu khas dan mesti mengikut bos."

Demikian tegas Siti Badariah Ahmad, 62, ibu kepada Allahyarham Siti Rohana Ismat, 43, yang ditemui mati bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu dengan kesan tembakan pada kepala kedua-dua mereka dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi kelmarin.

Siti Badariah berkata demikian ketika menafikan desas-desus mengatakan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang itu sudah berkahwin dengan Abdul Aziz.

“Malahan, beliau (Siti Rohana) turut mempunyai harta sendiri dan tidak kacau orang. Dari dulu orang kata ada hubungan tapi sebenarnya bukan, arwah kerja keras siang dan malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Siti Badariah, Allahyarham anaknya itu dan bekas suaminya, Abdul Aziz Hamim, 43, berpisah sejak lima tahun lalu namun hubungan kedua-duanya tetap baik.

Pasangan berkenaan mempunyai tiga orang anak iaitu Izzati Natasya Aziz,19, yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi dalam jurusan perniagaan, kedua manakala Elliyani Nadira, 16, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun dan Mohd Izat, 9, di Sekolah Kebangsaan Tanjong Karang.

“Selepas ini, saya sendiri akan menjaga anak-anak arwah,” katanya.

Siti Badariah merasakan ada yang tidak kena dengan kematian Siti Rohanan dan mahu pihak polis menjalankan siasatan dengan segera bagi menjawab segala persoalan.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Ismat Shafie, 74, menerima berita kematian anaknya sebagai suratan takdir yang harus diterima dengan pasrah.

Menurutnya, dia tidak pernah mengambil tahu mengenai urusan peribadi Allahyarham dan kematian ke atas anaknya itu, diserahkan sahaja kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Mengenai hubungan yang didakwa, saya tidak berapa rapat sangat tetapi hanya tahu pasal kerja sahaja. Dia pun tidak pernah menerima ugutan atau sebarang khabar angin,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status perkahwinan pasangan ini, sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan pasangan bukan suami isteri kerana tiada rekod menunjukkan pendaftaran perkahwinan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: