
Selain kisah penceraian dengan bekas suami, Rizal Ashram, ‘perang dinginnya’ dengan seorang aktres kontroversi juga masih menjadi perhatian. Malah aktiviti sehariannya turut dicerobohi sehingga empunya diri pernah dituduh sebagai artis yang gemar berparti.
Namun itu semua bukanlah satu bebanan buat Nora untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa. Memikul gelaran ibu tunggal, pelakon yang popular dengan sitcom ‘Puteri’ ini tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, sebaliknya semakin bersemangat meneruskan hidup dan cita-citanya.
Selain masih laris dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Nora turut dilamar menjadi duta beberapa jenama terkenal di negara ini. Dia yang pernah menjadi jurucakap untuk produk kosmetik Avon dan Sasa, kini dilantik sebagai duta produk kesihatan, Dunia Herbs.
“Nora bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan sokongan berterusan daripada peminat dan media, Nora masih bertahan dalam industri ini.
“Walaupun ada sahaja gosip yang muncul, tetapi rezeki Nora semakin bertambah. Mungkin inilah dikatakan rezeki anak.
“Bagi Nora, apa pun berlaku, ‘mendiamkan diri’ itu lebih baik. Nora percaya dengan cara itu ia dapat menyelesaikan masalah yang ada,” kata Nora yang ditemui ketika majlis pelantikannya sebagai duta di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.
Mengulas pelantikan itu, kata Nora, dia sebenarnya sudah lama menjadi pengguna produk kesihatan itu dan sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan.
“Masa saya bersalin dulu lagi saya dah guna produk ini dan hasilnya memang bagus. Malah ramai rakan-rakan artis turut menggunakannya,” kata Nora.
Hubungan baik dengan bekas suami, mentua
Tidak lengkap perbualan ini, tanpa pertanyaan tentang kehidupan peribadinya. Ketika diajukan tentang hubungannya dengan bekas suami, Nora memberitahu, mereka masih baik hingga ke hari ini.
Walaupun sudah bercerai, tanggungjawab terhadap satu-satunya anak hasil perkahwinan mereka, Rayqal Ramli Rizal Ashram, 2 tahun, tidak harus diabaikan.
“Alhamdulillahlah, Jejai (panggilan bekas suami), menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan baik. Soal apa yang berlaku padanya, saya tak nak campur. Itu hak peribadinya,” katanya yang tidak mahu mengambil pusing tentang sebarang gosip yang melanda bekas suami.
Dalam pada itu, Nora memberitahu hubungannya dengan bekas mentua juga baik. Walaupun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikannya, bagi Nora, tidak salah dia mengekalkan hubungan memandangkan anaknya itu adalah darah daging mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: