Friday, August 20, 2010

Rezeki Ramadan datang mencurah

CUKUPLAH gosip dan cerita negatif yang pernah dikaitkan dengan dirinya, sejak berkecimpung dalam bidang seni. Akui finalis Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zarina Zainoordin, 26, dia juga sudah tidak peduli dengan cakap-cakap orang padanya, ketika ini.

pix_middle
pix_topright
Baginya, semua gosip dan cerita negatif termasuk memandu kereta mewah dulu, semakin mematangkan dirinya sebagai anak seni.

“Terus terang, saya masih ingat lagi, kali pertama saya ke lokasi penggambaran drama dulu, orang pandang saya semacam saja dan melihat saya seperti orang pelik. Sedangkan saya tidak buat salah apapun pada mereka.

“Namun, saya buat tidak tahu saja dan teruskan berlakon seperti biasa. Kini, fokus saya hanya pada bidang seni yang diminati sejak dulu,” katanya.

Zarina berkata, dia juga bekerja keras untuk menempatkan diri di persada seni tanah air.

“Saya bersyukur kerana rezeki semakin murah dalam bidang lakonan. Sekalipun bukan watak heroin dan sekadar ditawarkan watak pembantu, saya tidak kisah. Setiap tawaran yang datang adalah rezeki dari Tuhan,” katanya.Jika artis lain berehat sepanjang Ramadan ini, Zarina pula sibuk menerima tawaran berlakon telefilem, drama bersiri dan filem. Malah, sepanjang Ramadan ini, agenda seninya padat dengan tawaran berlakon.


Antara drama lakonannya ialah Syurgamu Ramadan arahan Shahrulezad Mohameddin dan watak kecil yang juga kawan kepada pelakon Salina Saibi dalam filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof.Menyusul selepas ini, adalah drama baru yang akan memulakan penggambarannya pada 23 dan 25 Ogos ini. Dia bawa watak pembantu yang juga kawan kepada pelakon Ayu Raudhah.

“Saya baru selesai penggambaran drama Syurgamu Ramadan pada awal Ramadan lalu. Selepas raya, saya akan sambung penggambaran drama lagi untuk projek terbitan produksi lain pula,” katanya.

Ketika ditemui di majlis pelancaran drama Ramadan TV3 dan TV9 di Muzium Kesenian Islam, Zarina tampil bergaya dengan rambut pendek dan berbaju kurung kain songket warna hijau.

“Sebenarnya, saya tampil dengan rambut pendek kerana mengikut karakter dalam drama Syurgamu Ramadan. Watak saya dalam drama itu ialah Puteri Aisyah yang tidak kurang menariknya,” katanya.

Kesibukan menguruskan agenda seninya yang padat menyebabkan Zarina belum berpeluang berbuka puasa dengan keluarganya di Johor.

“Saya terbabit dengan penggambaran drama selang sehari dan rugi jika saya balik kampung sehari saja dan lepas itu berkejar pula ke lokasi penggambaran drama. Justeru, saya putuskan berbuka puasa dengan keluarga pada penghujung Ramadan nanti.

“Saya juga rindu dengan masakan emak ketika berbuka iaitu kari daging lembu dan sambal belacan. Kalau tidak terbabit dengan penggambaran, saya berbuka di rumah.

“Saya akan beli juadah berbuka di bazar Ramadan dengan kawan-kawan di Wangsa Maju dan dekat dengan masjid. Juadah kegemaran saya, murtabak dan air soya.

“Saya juga tidak ada masalah berpuasa di lokasi penggambaran kerana bila sibuk berlakon, saya tidak perasan sudah dekat masuk waktu berbuka,” katanya.

Kata Zarina, dia juga tidak lepaskan peluang untuk bersahur di rumah bila tidak terbabit dengan penggambaran. Selalunya Zarina bersahur dengan minum madu dicampur kurma dan bahan-bahan sunnah nabi iaitu produk Kasih Adinda.

“Saya diperkenalkan dengan produk ini ketika mempromosikan produk Love Family Perfume di Taiping, Perak. Saya adalah duta Love Family dan ada sesi bertemu peminat dan buat persembahan di sana.

“Ketika itulah pengedar produk Kasih Adinda datang menghampiri dan memberi produk itu untuk saya mencubanya. Sejak mengamalkan produk itu, saya lebih bertenaga di lokasi penggambaran sepanjang hari. Produk ini juga mempunyai pantang larangnya iaitu kita tidak boleh menggunakan sudu besi kerana khasiatnya akan hilang,” katanya.

Mengenai per­kembangan karier nyanyian pula, kata Zarina, dia merancang untuk muncul dengan single barunya sebagai mengubat kerinduan peminatnya.

“Buat masa ini, saya akur rezeki dalam bidang lakonan lebih murah berbanding nyanyian. Saya ingin buat single dengan lagu ciptaan sendiri dan menggunakan duit sendiri. Saya akan gunakan duit hasil lakonan untuk pembikinan single terbaru ini,” katanya.

Berkongsi cerita teman istimewa pula, Zarina yang baru putus cinta dengan gitaris sebuah kumpulan muzik me­ngakui dia sudahpun bertemu penggantinya. Sepatutnya, Zarina berkahwin dengan gitaris itu pada bulan Disember tahun lalu.

“Saya baru saja berkawan dengan si dia dan dia bukan daripada golongan artis mahupun kenamaan. Sebagai wanita, sudah pasti saya berdoa hubungan kali ini akan berakhir ke jenjang pelamin. Maklumlah, ramai rakan sebaya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak,” katanya.

NAMA SEBENAR: Zarina Zainoordin
TARIKH LAHIR: 15 Oktober 1984
UMUR: 26 tahun
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PROFESION: Penyanyi, pelakon dan jurucakap produk
STATUS: Bujang
PENCAPAIAN: Finalis AF2
ANTARA DRAMA: Zati & Si Mawas, Syurgamu Ramadan
TEATER: Impak Maksima The Musical.
FILEM: Gol & Gincu, Aku Bukan Tomboy
SINGLE: Bagaikan Puteri (Filem Gol & Gincu)
PRODUK: Love Family Perfume

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: