![]() |
| Enggan menghebohkan tentang pemergian ke Tanah Suci kepada umum. |
SEJAK nama Fouziah Gous disahkan dalam senarai jemaah yang bakal mengerjakan ibadah umrah pada Ramadan beberapa bulan lalu, jelitawan ini kemudiannya dihujani mimpi berada di bumi Tanah Suci itu. Bukannya semalam dua dia terbayang Kaabah dan Hajar Aswad, malah acap kali disinggahi mimpi indah yang menyebabkan dia terkenang-kenang selepas bangkit dari tidur.
Alamat itu terlalu sukar untuk diceritakan waima kepada teman rapat. Tambahan pula, mimpi itu berantai terutama seminggu sebelum keberangkatan Fouziah ke bumi Anbiya' kira-kira pukul 3 petang, Rabu lalu.
Natijahnya, hati Fouziah sentiasa berdebar dan gementar. Adrenalina pelakon Dua Hati Satu Jiwa ini tidak stabil setiap kali teringatkan 'jemputan' daripada Tuhan itu.
"Ini adalah umrah pertama saya ke Mekah pada bulan Ramadan. Namun, ia adalah pengalaman kali kedua ke tanah mulia itu sebab lebih kurang lima tahun lalu, saya pernah menjadi tetamu Allah.
"Sudah pasti ia merupakan situasi berbeza. Saya perlu bersedia dan memanfaatkan sepenuh masa semata-mata untuk beribadat di sana. Peluang keemasan sebegini pasti akan disia-siakan begitu sahaja," katanya tersenyum lebar.
Untuk itu, gadis rancangan kuiz Roda Impian ini mahu lupakan sebentar urusan duniawi dan berniat mahu mengisi masanya beribadat semata-mata sepanjang dua minggu di sana.
Menariknya, dia pergi berseorangan. Maksudnya, tanpa ditemani ibu bapa atau adik beradik terdekat. Fouziah menumpang wali salah seorang peserta.
Ia berikutan selepas melihat keadaan kesihatan bapanya, Mohd. Gous Ghulam yang kini berusia 74 tahun. Ibu Fauziah, Sajadi Ibrahim, 56, pula memikul tanggungjawab itu dengan bantuan dua orang abangnya.
"Saya sendiri tidak menyangka nama saya dipanggil agensi sebegitu cepat. Tak mengapalah, sudah rezeki saya ke sana bulan Ramadan ini. Walaupun tanpa muhrim saya percaya masing-masing akan berpecah dan buat ibadat mengikut kemampuan apabila sampai di sana.
"Kalau nak ikutkan, ibu bapa mana yang tidak risau lepaskan anak perempuan seorang pergi jauh. Tetapi, saya pergi bukannya untuk berbuat jahat. Saya mahu ke rumah Tuhan dan beribadat bersama lima juta umat Islam seluruh dunia yang lain," ungkap Fouziah panjang lebar.
Rasa rindu memuncak untuk mendapat peluang keemasan iaitu mencium Hajar Aswad kerana sebelum ini Fouziah pernah diberi kesempatan oleh-Nya secara tenang di celah-celah lautan manusia.
"Bayangkan, dalam keadaan orang berasak-asak mahu mencium batu suci itu, tanpa disedari saya sudah berada di hadapan batu suci itu. Aduh, tidak dapat bayangkan perasaannya bagaimana. Atas kehendak-Nya juga, saya dapat mencium Hajar Aswad dalam tempoh yang agak lama," ujarnya.
Wanita berusia 28 tahun ini juga tidak sabar untuk solat terawih berjemaah dan qiamullail di Baitullah.
"Ustaz pesan setiap jemaah perlu mempertingkatkan amalan di Mekah kerana setiap pahala akan dilipatgandakan. Terus terang, kesibukan sejak dua minggu kebelakangan untuk menjayakan drama Trilogi Cinta, membataskan amal ibadat saya.
"Jadi, saya ingin tebus semula masa yang telah dibazirkan itu. Mahu doa banyak-banyak, untuk kesihatan ayah dan mak, kerjaya, masa depan dan sudah pasti jodoh untuk saya," katanya.
Bukan untuk menunjuk
Bekas pramugari ini juga tidak terlepas dengan kata-kata serong mengenai hasratnya untuk ke Tanah Suci, apatah lagi tatkala usianya masih muda.
Malah, ada di kalangan kawan heroin Bujang Senang ini yang mempertikaikan niat Fouziah dan menganggapnya sebagai satu pembaziran kerana kos umrah di bulan Ramadan berlipat ganda berbanding bulan-bulan biasa.
Katanya, "Saya tidak kesah dengan cerita orang tentang pemergian umrah saya kali ini. Bagi saya, niat sangat penting. Tidak timbul istilah saya masih muda dan terlalu awal untuk ke sana. Pokok pangkalnya, saya sudah bersedia," kata Fouziah penuh yakin.
Ditanya adakah Fauziah akan melakukan perubahan seperti bertudung sebaik sahaja pulang dari mengerjakan umrah pada 9 September ini, pelakon Spa Q ini menarik nafas panjang.
"Kalau boleh saya tidak mahu ada unsur paksaan dalam tindak tanduk saya. Memakai tudung ini memberi satu persepsi yang tinggi di kalangan masyarakat tempatan.
"Saya tidak mahu sekiranya keputusan saya memakai hijab menyebabkan orang lain salah anggap dan timbul cerita yang macam-macam. Biarlah ia berlaku secara semulajadi. Seru bertudung pasti datang satu hari nanti. Sekarang ini sukar untuk dijangkakan sebab masih terlalu awal," ujarnya minta dimengerti.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengambil pendekatan mudah tentang perihal umrah ini. Sebab itu juga, Fouziah merahsiakan pemergian dari pengetahuan mana-mana pihak sehinggalah tiba masanya.
Bukan wanita munafik
Membuka halaman cinta hati wanita yang lahir pada 11 Disember 1982 ini sememangnya agak menyulitkan. Apatah lagi di kala cerita kisah cintanya dengan Iqram Dinzly yang dikatakan sudah putus beberapa bulan lalu.
"Perasaan cinta tidak pernah wujud di antara kami. Sungguh, saya tidak berbohong. Saya bukan wanita munafik yang gemar berselindung dari bercerita tentang duduk perkara sebenar.
"Saya mengamalkan prinsip jujur dan berterus terang kerana ia lebih mudah dari bercakap belit. Sebaliknya, manusia tidak percaya sekiranya kita bercakap benar dan lebih mempercayai khabar angin.
"Sebab itu, urusan jodoh ini saya bertawakal dan berdoa kepada-Nya agar ditemukan lelaki yang baik untuk diri saya. Doa ini yang bakal saya pinta semasa di Jabal Rahmah dan di Bukit Safa nanti," ujarnya tanpa berselindung.
Ditanya tentang jejaka idaman Fouziah, pelakon drama Anak Mami ini mengimpikan seorang yang bisa memimpin dirinya dalam segala urusan. Kematangan menjadi fokus utama kerana ia adalah karektor pertama.
"Saya seorang yang tegas dan berfikiran jauh.
"Saya boleh hilang hormat pada seseorang lelaki sekiranya didapati ada kekurangan tidak kira sama dari sudut material atau tingkal laku pada si dia yang dilihat kurang menyenangkan atau lebih teruk dari saya" jelas Fouziah tentang pendirian jodohnya.
Apa pun, pemegang Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik Kuala Lumpur ini mengharapkan satu keajaiban dan hikmah sekembalinya pulang ke tanah air pada 9 September ini.
Sudah pasti, satu perubahan yang boleh menginsafkan dirinya dan boleh dikongsi bersama dengan rakan-rakan lain terutama peminat industri hiburan tanah air.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: