Sunday, August 29, 2010

Keinsafan Zoey di Tanah Suci


Kenangan di Al Fayroz Hotel bersama jemaah lain.


Saya pasti, tidak akan ada seorang pun daripada jemaah haji atau umrah yang tidak merasa rindu untuk menjejakkan lagi kaki ke sana. bagi saya, Mekah merupakan tempat di mana saya berasa lebih tenang selain merasa dekat dengan Allah S.W.T.”

Demikian kata pengacara program Gerak Geri Gasing Astro Ria, Zoey Abdul Rahman, 25, saat berkongsi pengalamannya ketika menjadi tetamu Allah S.W.T pada awal Jun tahun lalu.

Bersama ibu tercinta, Azizah Ibrahim, 56, serta abang, Mohd. Hafizzie Abd Rahman, 27, Zoey berangkat ke Tanah Suci menyertai Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut, Terengganu yang disertai ibunya.

Kata jejaka berwajah jambu ini, dia sebenarnya sudah lama berhajat untuk mengerjakan umrah. Bahkan selepas mendengar pelbagai kisah-kisah menarik dan menyeronokkan daripada kaum keluarga yang pernah ke sana, hatinya bagai meronta-ronta untuk turut sama berada dalam golongan itu.

Bagi Zoey, pengalaman kali pertamanya mengerjakan umrah itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam yang mungkin tidak boleh difahami oleh orang lain.

Sejak saat matanya dapat menatap Kaabah di Masjidil Haram sehinggalah dapat menunaikan solat sunat di Taman Raudhah, Zoey mengaku terasa kerdil sekali menjadi antara insan yang bersujud kepada Allah S.W.T.

“Tak tahu bagaimana hendak diterjemahkan, mungkin sebab saya ikhlas mengerjakan umrah maka saya dapat mencari ketenangan sepanjang berada di sana. Berada di makam Rasulullah S.A.W di Masjid Nabawi juga memberikan satu keinsafan.

“Masakan tidak, di situlah bersemadinya baginda Nabi junjungan yang tercinta dan saya merupakan antara jutaan umat manusia yang diberi ruang untuk merasa dekat dengannya. Rasa sebak, sayu, semuanya bagai tidak kena untuk dikatakan,” ujarnya.

Terhantuk jenazah

Cerita Zoey, pengalaman berpeluang menunaikan solat jenazah ketika berada di Mekah merupakan antara yang sukar dikikis dari ingatannya.

Rupa-rupanya, kata pelakon drama bersiri Bong ini, di Masjidil Haram, setiap kali selepas solat fardu, solat jenazah akan dilakukan ke atas mana-mana jenazah yang dibawa untuk disembahyangkan.

“Saya tidak pernah tahu mengenai perkara ini, jadi selepas selesai solat fardu saya pun bersiap sedia untuk keluar masjid bersama abang. Semasa cuba bangun, kepala saya terhantuk sesuatu.

“Apabila saya menoleh ke belakang, terkejut sungguh saya kerana rupa-rupanya kepala saya terhantuk jenazah yang sedang diusung keluar masjid dengan menggunakan pengusung tanpa penutup.

“Lantas saya bayangkan sekiranya jenazah itu adalah saya atau pun ahli keluarga saya. Ketika itu hanya rasa insaf yang terbit di hati. Kalau perkara itu berlaku, saya mungkin tidak boleh menerima kenyataan tetapi apabila memikirkan kematian itu merupakan sesuatu yang pasti maka saya lebih banyak bermuhasabah diri,” katanya.

Menurut Zoey lagi, selepas kejadian, dia dan abangnya turut sama menunaikan solat jenazah bersama-sama jemaah lain apabila ada waktu terluang ketika berada di Tanah Suci.

Kata Zoey, ia sebagai hadiah dan bantuan kecil kepada si mati yang telah dikafankan tersebut meskipun mereka saling tidak mengenali siapakah jenazah yang mereka sembahyangkan itu.

Tawaf Wida penuh emosi

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, Masjidil Haram sekali lagi dijadikan lokasi untuk menunaikan solat sunat dan tawaf Wida oleh Zoey dan keluarga.

Usai melaksanakannya, dengan penuh rasa rendah diri, tangan ibu dan abang lantas dicapainya untuk dikucup dan memohon ampun.

“Entah mengapa semasa bersalaman dengan ibu air mata begitu laju membasahi pipi. Beriya-iya saya memeluk dan memohon ampun daripada ibu dan abang.

“Melihatkan keadaan saya itu, ibu dan abang turut sama menangis teresak-esak. Suasana sangat sayu dirasakan. Sampaikan orang di sekeliling memandang kami dengan penuh kehairanan,” katanya.

Pun begitu, tutur Zoey, pemergian ke Mekah juga meninggalkan kenangan manis buat dia sekeluarga apabila abangnya, Hafizzie bertemu jodoh dengan gadis pilihan hati di sana.

“Ibarat pergi bertiga, pulang ke Malaysia berempat. Abang bertemu jodoh dengan anak kepada seorang kawan ibu semasa berada di Mekah.

“Selepas beberapa bulan berkawan, April lalu kedua-dua mereka sepakat melangsungkan perkahwinan dan sekarang kakak ipar saya itu sedang hamil anak sulung mereka,” ujarnya ceria.

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya Zoey sama ada dia mahu menunaikan umrah lagi pada masa akan datang.

Pantas jawapan diberikan, “Jika ada rezeki dan umur panjang, Mekah pasti akan dikunjungi lagi, kali ini mungkin saya akan membawa seluruh ahli keluarga,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: