
Namun, Ramadan tahun ini pastinya membawa 1001 kelainan bagi satu-satunya anak perempuan Datuk Chef Wan ini, kerana dia berpeluang menyambut Ramadan bersama suami tercinta, Gavin atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar Abdullah.
“Jika tahun lalu saya beraya sebagai tunangan orang, ketibaan Ramadan kali ini membawa seribu Rahmat buat saya kerana bukan sahaja bergelar isteri orang malah akan bergelar ibu tidak lama lagi,” kata pengacara Jalan-Jalan Cari Makan ini.
Serina berkata, dalam keadaannya yang sedang sarat mengandung, dia tidak mampu menjalani ibadat puasa, namun demi suami tercinta dia tetap menyediakan juadah berbuka.
“Cuaca sekarang terlalu panas dan saya cepat penat. Tapi penat macam mana pun, saya akan sediakan juadah untuk suami.
“Walaupun suami ‘orang putih’, tapi dia begitu menggemari masak lemak cili padi dan dia juga gemar masakan kari.
“Malah saya selalu masak makanan Melayu di rumah agar dia biasa dengan masakan kita,” katanya yang lebih gemar menyediakan juadah berbuka sendiri.
Bertanyakan tentang aktivitinya sepanjang Ramadan, Serina berkata, selepas tamat penggambaran Jalan-Jalan Cari Makan seminggu yang lalu, dia kini mahu berehat di rumah sambil menyiapkan tempahan kuih raya.
“Nak dekat raya ni, makin banyaklah tempahan kuih raya yang diterima. Dalam keadaan saya sekarang ni, saya memang tak menang tangan nak buat kuih raya sorang-sorang.
“Jadi saya sudah pun mengambil empat pembantu untuk uruskan tempahan yang ada,” katanya yang menjalankan perniagaan itu di Kota Damansara.
Menurut Serina, dia hanya membuat sembilan jenis kuih raya sahaja, antaranya Coklat Chip, Cheese, Seaweed, Y, Lemon Grass Berry, Cornflakes Cappucino dan tart nanas.
Jelasnya lagi, kesemua kuih rayanya itu menggunakan resipi istimewa turun-temurun dari keluarganya.
Beralih tentang persiapan raya pula, Serina berkata, dia dan suami sudah pun membeli sepasang baju raya.
“Memandangkan badan saya sudah semakin membesar jadi saya hanya membeli sepasang sahaja baju kurung untuk raya tahun ini.
“Semasa beli baju, suami saya hairan mengapa perlu membeli baju baru setiap kali menyambut hari raya.
“Tetapi setelah saya terangkan kepada dia, dia faham dan tahun ini kami memilih warna biru sedondon untuk pagi raya nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: