Wednesday, August 18, 2010

Iqram Dinzly minta ibu cari calon isteri

Faktor kesunyian serta umur yang makin meningkat mendorong pelakon kacak, Iqram Dinzly untuk mencari teman hidup.

Namun tidak seperti kebanyakan anak muda zaman kini yang lebih cenderung memilih pasangan sendiri, Iqram menyerahkan urusan itu kepada ibunya.

Malah bagi Iqram, restu orang tua amat penting dalam sesebuah perkahwinan yang dibina.

“Saya pernah menyuarakan hasrat saya dan berbincang dengan ibu untuk mencarikan bakal isteri buat saya jika saya masih sendiri pada umur 30 tahun.

“Saya tidak ada masalah berkahwin dengan pilihan keluarga, bagi saya pilihan ibu bapa tentunya lebih baik dari pilihan sendiri.

"Lagipun mata ibu lebih tahu di mana kelebihan dan kekurangan seorang wanita itu. Bakal isteri saya nanti bukan saja berkahwin dengan saya tetapi juga keluarga saya,” katanya .

Menurut Iqram, selain mahu memiliki seorang isteri yang boleh dijadikan teman berbual, berkongsi masalah, dia juga inginkan kehadiran cahaya mata yang akan menyerikan lagi hidupnya.

Namun ada perkara yang menghantui aktor berusia 29 tahun ini sehingga menyukarkannya mencari calon.

“Saya kadang-kadang takut bercinta, sebab bila bercinta ‘bagai nak rak’ akhirnya hubungan itu tidak ke mana.

“Saya juga fobia dengan kes cerai-berai yang banyak dilaporkan sekarang ini. Kalau boleh saya hanya mahu sekali sahaja melalui alam rumah tangga,” katanya yang pernah digosipkan dengan aktres jelita, Fauziah Gous.

Sementara itu saat ditanya mengenai aktivitinya sepanjang Ramadan ini, Iqram mengakui akan memenuhi undangan berbuka puasa. Bagaimanapun, dia akan cuba mencuri masa untuk bersolat Tarawih jika ada masa terluang.

Selain itu, Iqram turut menjual serunding ikan bilis yang akan diedarkan kepada teman-temannya untuk dijual di bazar Ramadan. Malah jika punya banyak masa terluang, dia tidak kisah menolong kawan-kawan berniaga di bazar.

Saat ditanya mengenai persiapan rayanya, Iqram mengakui tidak beria-ia membuat persiapan raya sebaliknya menyediakan peruntukan untuk anak-anak saudaranya pada pagi raya.

“Dulu ketika zaman muda-muda memanglah teruja buat persiapan raya, tetapi bila umur makin meningkat ini saya lebih senang berserderhana dalam menyambut raya.

“Namun saya masih menyediakan peruntukan khas buat anak saudara dan juga ibu saya pada hari raya nanti,” ujarnya yang begitu menyukai rendang ayam masakan ibunya dan kuih-kuih seperti kuih loyang tart nanas dan cornflakes.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: