![]() |
| CLIVE BEVAN (kanan) menunjukkan bawang gergasi kepada delegasi dari China di Great Doddington, Britain baru-baru ini. |
LONDON - Beberapa ahli politik dan pemimpin perniagaan China menemui seorang pakar yang berjaya membesarkan hasil tanaman, Clive Bevan dari Northamptonshire, Britain untuk membantu negara komunis itu mengeluarkan sayur-sayuran gergasi, lapor sebuah akhbar semalam.
Bevan berumur 57 tahun yang peminatnya terdiri daripada pewaris kedua takhta Britain, Putera Charles merupakan lelaki dikenali ramai kerana dia menghasilkan bawang gergasi.
"Delegasi dari China itu memberitahu kami bahawa mereka mahu menjadi pemegang rekod pengeluar sayur-sayuran gergasi sekali gus membolehkan penduduk untuk membesarkan dan memakannya," kata Bevan baru-baru ini.
Lawatan delegasi China itu diatur oleh seorang chef antarabangsa Malaysia yang turut merupakan seniman makanan di Birmingham, David Loh.
Menurut Bevan, dia memberitahu delegasi China itu bahawa untuk menghasilkan sayur-sayuran gergasi memerlukan benih, tanah dan suhu yang sesuai.
Seorang anggota delegasi itu, Michael Chung berkata: "Wilayah Jiangsu merupakan antara yang terkaya di China. Idea yang ada kini ialah Bevan akan datang ke China lewat tahun ini. Ia merupakan perkongsian antara pemerintah dengan industri."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: