Friday, August 20, 2010

Raja Azmi ditahan

pix_gal0
Waran tangkap dikeluar mengenai kes sivil pada 1998; Turut dikaitkan jadi punca perceraian Roslin Hashim

AMPANG: Penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman (kiri), semalam ditangkap berhubung satu waran tangkap yang dikeluarkan mengenai satu kes sivil pada 1998 ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, petang semalam untuk membuat laporan polis terhadap beberapa akhbar yang menyiarkan laporan mengenainya semalam.

Isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, itu ditangkap pada jam 4.50 petang berikutan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) pada 21 Julai lalu kerana tidak hadir prosiding di mahkamah itu.Penerbit filem berusia 51 tahun itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya, sehari selepas cerita mengenainya disiarkan akhbar kerana dikaitkan sebagai punca perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim kelmarin.Akhbar semalam melaporkan, isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, perceraian mereka berlaku selepas beliau menemui suaminya bersama Raja Azmi di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini pada 7 Ogos lalu.

Norhayati dalam keterangannya di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad berkata, beliau mendapat tahu Roslin dan Raja Azmi ke Hotel Corus dan mendaftar masuk di bilik 533 atas nama penerbit filem itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata Raja Azmi ditahan di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) pagi ini.

Beliau berkata, polis Ampang Jaya sebelum ini beberapa kali cuba menjejaki Raja Azmi sejak waran tangkap dikeluarkan.
Malah, siang tadi (semalam) sepasukan anggota polis dari IPD Ampang Jaya ke rumahnya di Ulu Klang pada jam 1 tengah hari dan jam 2 petang untuk menahannya tetapi tiada sesiapa yang membuka pintu rumah.

Polis mengesyaki memang ada individu dalam rumah itu berdasarkan kelibat orang yang dapat dilihat dari luar, tetapi tiada reaksi daripada penghuninya.
Bagaimanapun, dia datang ke IPD Ampang Jaya petang semalam untuk membuat laporan polis terhadap laporan muka depan beberapa media tempatan berhubung kes perceraian Roslin dan terus ditahan, katanya.

Difahamkan, Raja Azmi ke IPD Ampang Jaya ditemani seorang rakannya dan sejurus ditahan, Jailani datang ke IPD itu untuk cuba membebaskan isterinya.

Namun, usaha itu gagal disebabkan Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) sudah ditutup kerana tamat waktu pejabat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: