Akui naib juara One In A Million (OIAM) musim dua, rasa malu masih menebal hingga kini namun ia dapat di atasi dengan lebih banyak bergaul sama ada dikalangan rakan artis mahu pun saudara mara yang disifatkan medan terbaik mengikis sifat segan.Memang kalau dilihat dari segi luaran, Shila nampak senang bergaul serta mudah mesra. Lagi pun sudah asuhan sejak kecil, bersalaman dengan golongan yang lebih tua dan menyapa orang yang kita kenal, itu yang selalu mama dan papa tekankan. Hakikat sebenar saya masih pemalu, ujarnya membuka rahsia diri.Barangkali katanya, pergaulan bersama teman sebaya amat terhad malah bekas rakan sekolah yang masih akrab boleh dikira dengan jari tetapi mantan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah itu tidak pernah ralat kerana pembabitan dalam seni sejak berusia 9 tahun menuntut pengorbanan besar.
Dulu selepas habis waktu sekolah masa saya dihabiskan di rumah - mengulangkaji pelajaran dan jika ada undangan, keluarga akan menemani ke mana-mana malah aktiviti seni semakin rancak apabila di sekolah menengah hingga menjarakkan hubungan dengan rakan luar.
Kini dengan adanya rangkaian sosial Facebook, saya dapat menghubungi kembali rakan lain malah harapan saya, Aidilfitri kali ini membuka peluang berhimpun bersama bekas rakan sekolah kerana sudah banyak kali saya kesempatan ini, kata gadis tinggi lampai itu sambil tersenyum manis.
Bercerita mengenai Ramadan, katanya inilah masanya Shila mempertajamkan lagi skil memasak memandangkan undangan menyanyi berkurangan dan sebagai menghargai jasa si ibu sebagai peneman setia ke mana saja, dia mengambil alih tugas di dapur.
Bukan mahu membanggakan diri, hakikatnya anak dara ND Lala ini sudah biasa bersilat di dapur menyediakan hidangan untuk seisi keluarga terutama rendang yang menjadi menu wajib dalam senarai hidangan hari raya air tangannya tatkala pulang ke kampung.
Sejak kecil emak sudah ajar memasak semua jenis lauk sebab katanya anak dara walau sehebat mana jawatan atau setinggi mana pendidikan, perkara paling asas iaitu memasak mesti diketahui.
Itu yang membuatkan saya agak cekap di dapur sebab sudah biasa dikerah, selorohnya sambil tertawa kecil.
Tidak sabar bertemu keluarga sebelah ibu dan bapanya pada Syawal nanti, Shila tentu saja perlu menyediakan peruntukan tertentu sebagai hadiah kepada sanak saudara terutama sepupunya yang kecil berjumlah hampir 30 orang.
Aidilfitri bukan selalu, jadi waktu inilah kita dapat berkumpul beramai-ramai dengan semua anggota sambil bertukar cerita. Sebagai Kak Long dan memegang duit
sendiri, tiba giliran saya menyediakan pula duit raya untuk adik-adik lain.
Seronok tengok mereka berlumba mengumpul duit raya. Terkenang zaman saya kecil dulu, katanya.
Sudah menjadi tradisi sejak dulu, tiga hari sebelum Syawal mereka sekeluarga akan pulang ke Manjoi, Perak - kampung sebelah bapanya dan selepas bermaaf-maafan, mereka akan berhari raya pula ke kampung ibunya di Banting, Selangor.
Walaupun kurang undangan pentas, Shila turut memenuhi tawaran lain termasuk merakamkan lagu untuk album Hangatnya Raya bersama penyampai Hot FM dan barisan penyanyi muda lain selain Akustika Raya bersama Stacy, rakaman program RTM bersama Media Corp di Singapura, Salam Lebaran dan Melodi Raya.
Rasanya tahun ini tidak sesibuk 2009 kerana ketika itu saya baru keluar daripada OIAM, jadi banyak temu janji dan urusan perlu dilaksanakan, namun kali ini saya bersyukur masih mendapat undangan walau ramai muka baru muncul terutama menerusi program realiti.
Saya melihat persada seni tempatan terus meriah dengan kehadiran ramai bakat muda malah merasa bertuah kerana menerusi program realiti langkah saya semakin lebar hingga hasrat mempunyai album sendiri tercapai malah buah tangan kedua bakal menyusul dalam tempoh terdekat, katanya yang turut menyumbangkan lirik dalam album keduanya.
Dalam malu-malu ujarnya lagi minat menghasilkan seni kata lagu sudah
bercambah sejak dulu tetapi ia semakin serius sejak berusia 16 tahun, cuma semua nukilan bait romantis yang digarap umpama saja hanya tersimpan di dalam buku hinggalah dia berani menunjukkan hasilnya kepada yang lebih arif.
Antara lain, penerima anugerah emas Penang Shanghai World Star Quest 2008 itu turut bergabung suara dengan dua nama besar, Ning Baizura dan Jaclyn Victor menerusi projek khas antara tiga negara termasuk Indonesia serta Singapura.
Semua lagu sudah dirakamkan dan dijangka dilancarkan Oktober ini. Saya rasa bertuah apabila berpeluang bergandingan dengan dua nama besar itu dalam sebuah album. Mereka banyak menurunkan ilmu membuatkan saya merasa cukup kerdil, luahnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: