Tuesday, August 17, 2010

Rahsia kejayaan Balai Puchong Jaya


LOKMAN Ahmad. Ketua Balai Puchong Jaya.


APABILA disebut Balai Polis Puchong Jaya, pastinya ia akan segar dalam ingatan semua anggota polis di seluruh negara.

Mana tidaknya, balai yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu dipilih sebagai johan bagi kategori A dalam Anugerah Liga Balai baru baru ini.

Berikutan kemenangan itu, balai tersebut kini menjadi tumpuan semua pengendali balai polis dari seluruh negara untuk mengetahui resipi kejayaan mereka.

Jika diselidik faktor penyumbang kepada kejayaan yang diperoleh Balai Polis Puchong Jaya itu pastinya pelbagai reaksi diberikan.

Antaranya mungkin ketua balai tersebut, Cif Inspektor Lokman Ahmad dan anggotanya menjalankan tugas berlipat kali ganda daripada apa yang dipertanggungjawabkan.

Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak seperti itu.

Balai polis tersebut dilihat seperti balai-balai lain sahaja, begitu juga suasana dari luarannya.

Menurut Lokman, beliau tidak mempunyai rahsia besar untuk disembunyikan berhubung kemenangan tersebut.

"Saya hanya melakukan beberapa tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap ketua balai dan yang perlu dilaksanakan anggota.

"Antaranya ialah mengutamakan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu menyediakan kepada masyarakat satu keadaan yang tenteram dan selamat melalui perkhidmatan berlunaskan undang-undang," katanya ketika ditemui Gaya Polis , baru-baru ini.

Malah Lokman dan anggotanya sentiasa bersedia supaya tidak menjadi mangsa penjenayah iaitu terlepas daripada menangkap mereka yang melakukan kesalahan.

Baginya, setiap kali berhadapan dengan penjenayah, anggotanya perlu pulang dengan kejayaan menahan suspek tersebut.

Selain itu, di balai pula, Lokman menuntut anggotanya supaya melayan pengadu seperti tetamu yang datang ke rumah sendiri.

"Saya meminta kepada anggota yang menerima laporan supaya tidak bekerja dengan mengikut emosi sebaliknya menyambut pengadu seperti tetamu yang datang ke rumah mereka.

"Ini kerana, sikap yang ditunjukkan mereka bakal mencerminkan sikap anggota yang ada di balai ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Lokman berkata, antara yang penting dalam pencegahan jenayah adalah komuniti kepolisan.

Tanpa bekerjasama dengan komuniti atau penduduk di bawah jagaan balai berkenaan, tugas polis untuk mencegah jenayah pastinya sukar.

Menyedari perkara itu, Lokman telah mengumpul seramai 33 pengerusi penduduk taman dan kampung untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa komuniti kepolisan.

Menerusi cara itu, Lokman berjaya melakukan langkah pencegahan jenayah dengan lebih baik serta dibantu sepenuhnya oleh penduduk.

Menurutnya, tanpa kerjasama masyarakat dalam mengurangkan kadar indeks jenayah sebanyak 17.8 peratus dalam tempoh enam bulan pertama ini, sudah tentu balai tersebut tidak akan dipilih sebagai johan bagi kategori tersebut.

Sikap seorang pegawai polis yang mesra dengan komuniti itu bukannya dilakukan oleh Lokman sahaja malah sentiasa dititikberatkan oleh Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias.

Di mana sahaja jika wartawan menemubual beliau, Abd. Razak tidak pernah berhenti untuk berterima kasih kepada orang awam kerana bekerjasama dengan polis sehingga dapat menewaskan jenayah.

Mengulas mengenai masa perancangan masa depan pula Lokman memberitahu, selain menerima anugerah, balai yang dikendalikan beliau juga telah diberi tanggungjawab baru.

Anggota di balai tersebut kini telah ditugaskan untuk menurunkan indeks jenayah di sekitar Bandar Puteri yang merupakan kawasan panas.

"Kini kami tidak lagi dibuai mimpi untuk mempertahankan kemenangan lalu sebaliknya perlu bekerja keras menangani kejadian jenayah di kawasan Bandar Puteri.

"Kes jenayah seperti samun, curi kenderaan dan pecah kereta antara yang popular di kawasan itu. Untuk itu kami telah merencanakan pelbagai langkah untuk memerangi penjenayah terbabit," katanya

Menurutnya, beliau dan anggotanya akan cuba menjadikan kawasan panas di Bandar Puteri kepada lokasi yang 'sejuk' untuk didiami penduduknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: