![]() |
| |
KALAU dihitung hampir empat tahun juga Ezad menghilangkan diri selepas keluar dari kumpulan Exist. Pada masa itu tak ramai yang tahu di mana dia berada dan apakah sebabnya dia merajuk sebegitu rupa sekali.
Tup tup apabila membuat kemunculan kembali, dia cukup gembira. Mana tidaknya selama ini dia hanya melihat kegembiraan rakan artis lain sahaja di dada-dada akhbar sedangkan dirinya terus terpinggir tanpa berita.
Apabila membuat kemunculan kembali, ternyata percaturannya juga berbeza. Kalau dulu ada banyak kepala yang boleh merencanakan apa yang perlu dilakukan, kini semuanya perlu dilakukan sendiri.
Bergerak secara solo itu membuatkan perjalanan Ezad cukup berliku. Mana tidaknya, semuanya cukup perit apabila mahu membina nama secara solo.
Bagi Ezad dia bertuah kerana masih ada lagi syarikat rakaman yang merencanakan pelbagai aktiviti seni bagi menaikkan kembali namanya seperti mana yang pernah dikecapi ketika bersama grup dahulu.
Namun setelah keluar dengan single terbaru Bertemu Cintaku lewat bulan lalu, nama Ezad kembali menjadi sebutan. Dia juga sering kali menjadi pilihan pihak penganjur untuk pelbagai acara. Ini sedikit sebanyak menunjukkan Ezad masih lagi diterima baik oleh peminatnya.
“Saya cukup bersyukur kepada Allah kerana dengan rahmat-Nya saya masih lagi berkesempatan untuk berada dalam industri ini.
“Memang cukup gembira apabila orang masih lagi mahu mendengar lagu-lagu saya, masih ada yang minat pada saya dan paling terharu apabila mereka yang tidak pernah jemu-jemu menyokong saya sejak dahulu lagi.
“Walau sedikit sukar perjalanan secara solo itu, tetapi semuanya masih baik. Semuanya saya pelajari ketika ini dan ia sedikit sebanyak memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada saya untuk mengharungi masa akan dayang,” kata Ezad dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Ya, kalau dilihat kembali perjalanan yang dilalui oleh Ezad ini mungkin ramai yang sudah tahu pengalaman berbelas-belas tahunnya dalam bidang yang cukup mencabar ini.
Seharusnya dalam tempoh itu seseorang penyanyi itu sudah berjaya mendapatkan apa yang dihajatinya atau setidak-tidaknya hanya tinggal selangkah sahaja untuk berjaya.
Ezad tidak pernah menyesal dengan apa yang telah terjadi. Biarpun ada suara-suara nakal yang memberitahu dirinya sudah tidak sepopular dahulu, tidak ada apa yang perlu disimpan di dalam hati.
Popular atau tidak bukan sesuatu yang teruk memandangkan Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim sudah masak sekali dengan semuanya.
“Semasa Exist tengah popular satu ketika dahulu saya dah merasa perasaan popular itu. Saya tahu apa yang artis-artis baru rasa apabila semua orang cari mereka, mahu mendapatkan berita sensasi.
“Dan saya juga pernah merasa detik tidak dipedulikan apabila karier saya mula menjunam kira-kira empat tahun lalu. Waktu ini mungkin saya baru sedar inilah realiti hidup yang perlu dilalui.
“Namun saya masih lagi bersyukur apabila keluarga dan rakan-rakan terdekat masih lagi bersama saya memberikan sokongan serta nasihat untuk saya berjaya.
“Saya tidak berkata perjalanan saya sehingga hari ini lengkap tetapi dalam apa yang ingin saya katakan banyak ilmu yang saya dapat. Semuanya cukup untuk mematangkan Ezad Lazim untuk menjadi anak seni yang kental,” luahnya tanpa berselindung.
Bercerita mengenai sisi lain pula, Ezad ternyata kurang senang apabila diasak dengan pertanyaan berbaur kisah cinta dan peribadi. Katanya kurang enak jika dia terus menjaja kisah cinta memandangkan usianya semakin meningkat naik.
Bukan tidak mahu berkongsi apa juga perasaan bersama dengan peminat setianya tetapi soal ajal, jodoh, maut dan pertemuan di tangan Allah semata-mata.
“Sebagai manusia biasa saya hanya merancang. Siapa yang tak mahu kahwin tambahan pula usia saya yang sudahpun mencecah 31 tahun ini. Cuma kalau diuar-uarkan terlalu awal, kurang elok rasanya.
“Saya sendiri mahu berkahwin dalam masa terdekat. Tapi kalau boleh biarlah dalam masa setahun dua ini. Tapi kalau ada yang kata saya memilih, itu tidak benar. Mungkin saya yang dipilih, barangkali,” katanya tertawa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: