LUMRAH anak rantau, Ramadan pastinya saat paling menggoncang emosi - suara ibu memecah hening subuh memanggil bersahur, tatkala berbuka pula penuh hidangan di meja demi memenuhi keinginan anak yang berpuasa selain ajakan bapa mengajak bertarawih bersama.
Kenangan indah bersama keluarga juga turut dirasai Shahir atau empunya nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi yang juga juga Akademi Fantasia (AF) musim lapan apabila hambatan jadual seni, termasuk lakonan menyukarkan keinginannya pulang ke kampung halaman.Demi tuntutan tanggungjawab, anak sulung daripada lima bersaudara itu terpaksa memujuk diri, sekali pun kadang kala tersentak naluri lelakinya apabila mendengar suara syahdu ibunya, Mahanum Osman, 45, hujung corong telefon setiap kali bertanya khabar.Saya tidak ralat jauh sekali menyesal menceburi bidang ini walaupun banyak pengorbanan yang harus diberikan. Sejak keluar AF, saya akui sibuk memenuhi undangan, tetapi saya sentiasa mengingatkan diri, di luar sana ada insan yang lebih kasihan terpisah jauh beribu batu daripada ibu bapa.
Sebelum ini, kalau rindu, saya memandu balik ke Perak semata-mata berjumpa keluarga dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari sama. Cuma sepanjang Ramadan ini keinginan itu terpaksa dipendam memandangkan ada komitmen perlu dipenuhi, katanya yang turut merindui bubur gandum air tangan ibunya.
Begitupun, demi memenuhi keinginan selain menghilangkan rindu, Shahir akan cuba mencuri masa lari seketika ke Kampar untuk berbuka dan bersahur, malah turut merancang menyelesaikan setiap tugasan menjelang raya bagi memperuntukkan masa sepuas-puasnya bersama insan tersayang sepanjang minggu pertama Aidilfitri.
Dalam keghairahan berkongsi rasa, nada ceritanya bertukar ceria sebaik mengulas pengalaman di lokasi penggambaran filem seram berjudul Karak yang dirasakan cukup mencabar tambahan pula ia percubaan pertama di beraksi untuk layar perak.
Filem terbaru KRU Studios itu menggabungkan Shahir dengan muka baru, Shira Aiyob dan anak Rohana Jalil, Shakila yang memulakan penggambaran di beberapa lokasi sekitar ibu negara pertengahan bulan lalu dan tamat selepas seminggu puasa.
Ia dijangka menemui khalayak sekitar Mac tahun depan malah langkahnya di arena lakonan sebenarnya sudah bermula dengan penampilan di dalam drama raya, Lawaknya Fantasia Raya yang dijadualkan disiarkan pada hari ketiga nanti.
Kata orang rezeki Ramadan jangan ditolak. Sepanjang bulan puasa ini banyak aktiviti perlu dipenuhi, malah saya juga juga terbabit dalam program Marhaban Di Astro, rakaman video klip raya, selain berduet dengan penyampai Hot FM menerusi album, Hangatnya Raya, katanya sambil tersenyum.
Mengakui perlu lebih banyak belajar dan mendalami perwatakan, bakat baru yang mudah mesra itu menganggap peluang menceburi lakonan tidak harus dilepaskan sekali gus melebarkan lagi bakatnya ke cabang seni lain yang dirasakan sama mencabar.
Minat berlakon memang ada, cuma saya bermula di pentas nyanyian menyebabkan orang lebih nampak kecenderungan di bidang seni suara. Seronoknya apabila kita berpeluang menjadi orang lain, berbeza dari diri sebenar kita.
Saya bertuah kerana mendapat bimbingan guru yang bagus seperti Que Haidar, Fatimah Abu Bakar dan Norman KRU yang meminta saya menonjolkan kepelbagaian bakat, malah dengan sokongan guru AF8 inilah saya semakin berani melangkah, katanya.
Akuinya lagi, soal lelah tidak perlu dipersoalkan kerana dalam setiap tugasan, pastinya semua individu berdepan situasi sebegitu, namun dirinya bertuah apabila dipilih sebagai duta produk makanan tambahan kesihatan yang memberi kesegaran berpanjangan.
Terdahulu, lepasan Diploma Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu dipilih sebagai Ikon Belia Negeri Perak 2010 yang dianggap sebagai benteng bagi memastikan dirinya jauh daripada tempias kontroversi selain memastikan dirinya sentiasa beringat.
Shahir yang menginjak 22 tahun 5 September ini juga agak malu-malu apabila ditanya soal kekasih kerana katanya yang pernah melalui pengalaman cinta monyet, dirinya masih terlalu muda dan perlu mengejar cita-cita sebelum mengejar cinta.
Memang ramai bertanyakan soal ini termasuk hubungan saya dengan teman AF, Adira tetapi hubungan kali sekadar kawan malah bagi saya cinta sejati akan datang sendiri dan tidak perlu dicari.
Jika masanya tiba, kita tidak mungkin mampu menolaknya, ujarnya penuh bermakna.
Mengenai pembikinan album solo, penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu berkata semuanya masih di peringkat pengumpulan bahan dan tidak mahu tergesa-gesa demi memenuhi keinginan sendiri kerana paling penting setiap dendangan memenuhi cita rasa ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: