
GELORA-GELORA ombak deras mengisi seluruh ruang kanvas. Pantas dan ganas dengan warna-warna terang seperti merah, jingga dan hitam. Di tengah-tengah keganasan ombak, palitan warna-warna kuning tua bagaimanapun seakan-akan menarik tumpuan audiens ke arahnya. Lukisan bertajuk Allegro I itu merupakan antara 20 koleksi hasil karya pelukis berbakat, Mohd. Shafarin Ghani, 29, yang dipersembahkan dalam satu pameran seni solo bertemakan Oeuvre of Movement No. 1.
Pameran yang berlangsung selama sebulan sejak 8 Ogos lalu menyaksikan kelincahan Shafarin menggabungkan kehalusan seni visual dengan ritma-ritma muzik dalam hasil-hasil karya yang sebilangan besarnya dizahirkan pada tahun ini.
Bagi anak kelahiran Pulau Pinang itu, ombak sesuai sebagai subjek utama lukisannya atas sebab-sebab tertentu. Emosi dan ekspresi Shafarin dengan mudahnya diluahkan menerusi imej-imej tidak statik seperti ombak.
Ada ketikanya bergelora seakan-akan marah dan ada masanya, ombak tenteram seperti hati yang tenang. Permainan ombak Shafarin berjaya dipersembahan dengan lukisan-lukisan bermediumkan cat minyak dan akrilik.
"Sejak enam tahun lalu, saya mula menjadikan ombak subjek utama lukisan-lukisan saya. Ia merupakan hasil yang memerlukan ketelitian tetapi juga membolehkan saya melihat serta mengayakannya menerusi pelbagai sudut dan perspektif," katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tarikan visual

Biasanya melukis pada waktu malam, Shafarin merasakan ia satu proses penting bagi mencari diri yang sebenar. Menggunakan teknik chiaroscuro bagi menghasilkan lukisan-lukisan berombak tersebut, anak kedua daripada empat orang beradik itu turut menyifatkan seni adalah irama harmoni yang bermain-main di dalam minda sementara warna-warna terang mengalir dalam mata.
Kurator Galeri Core Design, Scarlette Lee, 32, berkata, hasil-hasil karya Shafarin memiliki kesan tarikan magnetik visual apabila dihayati secara dekat. Gabungan gelombang warna dan kederasan atau keharmonian suasana laut dalam setiap lukisannya memberi efek emosi berbeza bagi audiens berlainan. Maka, tidak hairanlah apabila salah sebuah lukisan dalam koleksi itu, Oeuvre XVIII turut dibeli oleh pemilik bersama Galeri Core Design biarpun baru separuh jalan siap.
"Karya kegemaran saya ialah Oeuvre XVI dan Allegro I. Kedua-dua lukisan ini bagi saya adalah hasil karya penuh emosi. Palitan warna kuning di tengah-tengah seakan-akan satu sinar harapan yang menunggu di hujung kepincangan gelora dan seperti menandakan bahawa pada akhirnya, kebaikan akan berjaya mengatasi segala kejahatan," tambahnya sambil memberitahu lingkungan harga bagi semua lukisan Shafarin adalah di antara RM1,000 sehingga RM7,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: