Sunday, August 29, 2010

Nashrin bangga jadi anak merdeka




EMOSINYA bercampur baur. Marah, geram dan rasa bengang yang amat sangat melihat bendera Malaysia yang cukup disanjung tinggi dipijak-pijak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Jakarta, Indonesia.

Malah insiden memijak bendera dan melemparkan najis kepada bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini cukup mengguris hati. Mengapakah perkara tersebut boleh berlaku sedangkan Malaysia dan Indonesia itu merupakan negara serumpun yang amat akrab dalam segala sudut.

Marah dengan apa yang telah berlaku, Nashrin cukup geram tatkala melihat Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat diperlakukan sebegitu hina. Baginya inilah insiden yang paling memalukan dan menguji kesabaran apabila kita semakin hampir dengan ulang tahun kemerdekaan yang ke-53.

Seharusnya semakin lama usia sesebuah kemerdekaan itu dicapai, semakin tinggi nilai-nilai patriotisme dalam diri setiap rakyatnya. Tapi di Malaysia, kelihatan nilai-nilai patriotik dalam diri generasi muda semakin menurun.

Sebagai belia yang cukup bangga dilahirkan sebagai anak merdeka, Nashrin mahu memberitahu dunia bahawa dia bangga menjadi anak Malaysia. Di Malaysia juga dia dapat hidup dalam suasana yang cukup harmoni di samping dalam melakukan apa kemahuannya.

"Sebagai anak Malaysia yang merdeka sudah pasti saya berbangga dengan negara kelahiran saya. Di sini saya membesar dan hidup dalam keharmonian.

maruah"Bila ada pihak lain yang cuba memperkotak-katikkan maruah kita seperti yang berlaku baru-baru ini, saya cukup marah dengan perkara tersebut. Kenapa sampai begitu sekali ia terjadi?

"Saya lihat masyarakat kita juga tak ramai yang bersuara tentang perkara tersebut. Mungkin generasi hari ini sudah tiada perasaan melihat bendera kita dipijak. Jadi salah siapa semua ini berlaku?" katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, sejak kebelakangan ini banyak cerita tentang kurangnya semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia diperkatakan.

Malah sebagai generasi muda yang hidup dalam arus permodenan, sudah tiba masanya untuk kita bersatu pada dan menghidupkan kembali semangat nasionalisme dan semangat patriotik yang semakin dipinggirkan.

"Jika tak ada apa-apa tindakan yang diambil tak mustahil pada masa hadapan ada yang akan terlupa ulang tahun berapa kita merdeka. Malah mungkin ada yang sudah lupa siapakah tokoh kemerdekaan negara yang seharusnya disanjungi," jelasnya yang baru sahaja melancarkan single Fobia Cinta.

Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Nashrin yang juga penyandang tempat kedua dalam pertandingan MyStarz LG musim kedua mengakui hala tujunya kini cukup jelas.

Biarpun sedikit sebanyak sudah merasakan jerih perih sebagai anak seni, dia nekad inilah jalan terbaik yang menjadi pilihannya. Malah paling mengkagumkan apabila dia sanggup berhenti kerja di sebuah bank semata-mata mahu merealisasikan impiannya untuk bergelar penyanyi.

"Sebelum ini saya sedikit takut untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. Tapi bila peluang dah diberikan oleh syarikat rakaman untuk menerbitkan album membuatkan saya bersemangat.

"Kini album saya yang berjudul Nashrin hanya menunggu masa untuk dilancarkan sahaja. Insya-Allah akan mula menemui peminat selewat-lewatnya selepas Aidilfitri ini," jelas Nashrin yang baru menginjak usia 21 tahun.

Kalau ditafsir karier seninya, pasti ramai yang menyangka ia sudah terkubur memandangkan selama ini nama Nashrin langsung dipandang sepi.

Penyanyi lagu Ingin Bersama Kembali, duet bersama Wana itu tidak kisah dengan pandangan orang. Katanya orang boleh bercakap apa sahaja tetapi hanya dia yang tahu apa yang harus dilakukan.

"Memang saya akui selepas taman sahaja pertandingan itu, nama saya tenggelam. Tapi itu tak bermakna saya terus mengalah dengan keadaan. Sebaliknya saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk menggapai impian seterusnya menjadi penyanyi hebat.

"Bagaimana anda boleh melabelkan diri saya tenggelam kalau saya sendiri baru nak mulakan kerjaya? Ini merupakan langkah pertama saya dan masih terlalu awal untuk ditafsir," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: