Sunday, August 29, 2010

Najib arah SPRM siasat kes di Jeti Pulau Ketam

Kakitangan terima sogokan wajar kena tindakan tegas

PEKAN: Pembongkaran isu mengenai penguat kuasa di Jeti Pulau Ketam yang mendapat habuan RM60,000 sebulan mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak apabila beliau mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Jenayah Malaysia (SPRM) menyiasat segera.Malah, Perdana Menteri juga turut menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan terhadap kakitangan awam yang didapati berbuat demikian.“Jika ada macam itu, kita mesti menyerahkan kepada SPRM menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti ada menerima wang sogokan,” tegas beliau ketika diminta mengulas mengenai laporan Berita Harian kelmarin mengenai ada sesetengah anggota dan pegawai imigresen di Jeti Pulau Ketam disogok untuk membantu pendatang tanpa izin dari Indonesia mudah membolosi negara.

Ditanya sama ada siasatan SPRM itu akan bertumpu di Jeti Pulau Ketam, Perdana Menteri berkata, siasatan menyeluruh perlu, termasuk di semua pintu masuk di negara ini.

“Biar SPRM siasat semua (di pintu masuk) dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media pada majlis penyampaian dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB), Dividen Tanam Semula Komersial (TSK) dan Zakat RISDA 2010, di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hasan.
Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan Wee Meng Chee atau Namewee yang pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan video klip Negarakuku dan terbaru video klip berunsur perkauman, iaitu ‘Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!!’, Perdana Menteri meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

“Kita tengok... jika ada bukti cukup boleh dakwa dan serah kepada mahkamah untuk jatuhkan hukuman,” katanya.

Ditanya sama ada kecenderungan individu seperti Namewee yang beberapa kali melakukan perbuatan sedemikian, Najib berkata, kerajaan tetap mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum, termasuk mencetuskan isu perkauman.

“Jangan orang kata kita tidak ambil tindakan... amaran kita bukan kosong, tetapi benar-benar ambil tindakan. Jika kita ambil tindakan kita mesti ada bukti yang konkrit dan mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: