Thursday, August 19, 2010

Minyak pati herba ke Perancis


ZAM ABDUL KARIM menunjukkan produk daripada minyak pati herba dan buah-buahan hasil kajian TBE di Melaka semalam.


MELAKA – Perbadanan Bioteknologi Melaka melalui anak syarikatnya, Tropical Bioessence Sdn. Bhd. (TBE), akan memasarkan minyak pati hasil kajian perbadanan itu ke Perancis.

Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu, Zam Abdul Karim berkata, minyak pati daripada tumbuhan herba dan buah-buahan itu akan dipasarkan ke negara berkenaan apabila kilang milik syarikat itu di sini mula beroperasi pada akhir September ini.

“Kami akan bekerja sama dengan dua syarikat di Perancis untuk memasarkan produk itu di sana. Setakat ini ada banyak permintaan di Perancis untuk minyak pati yang kami hasilkan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Menurut beliau, pengekstrakan minyak pati merupakan hasil kajian terawal perbadanan itu yang ditubuhkan pada 2005. Minyak pati itu mula dikomersialkan untuk pasaran dalam negara pada 2007.

Tambahnya, antara minyak pati yang mendapat sambutan ialah sitrus dan serai wangi yang boleh dijadikan bahan untuk membuat barangan seperti sabun dan minyak aromaterapi yang digunakan di kebanyakan spa di negara ini.

Selain minyak pati, Zam berkata, perbadanan itu sedang dalam proses perbincangan untuk memasarkan minyak wangi daripada bahan asas bunga kemboja dan cempaka ke Perancis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: