
MESKIPUN tanpa latar belakang dalam pembuatan tembaga, Shahrol Khairuddin Ali, 35, sanggup mengambil risiko.
Bahkan dia tidak pernah membayangkan dirinya akan berkecimpung dalam bidang keusahawanan apatah lagi dunia kraf yang menuntut ketelitian dan kesabaran yang cukup tinggi.
Malah, di tanah kelahirannya Terengganu, tidak ramai anak muda yang berani menceburkan diri dalam bidang itu.
Atas alasan tersebut, industri kraf tembaga di Terengganu di ambang kepupusan kerana ketiadaan pelapis untuk meneruskan kerjaya yang memerlukan seseorang tahan lasak ketika bekerja dalam persekitaran yang kurang selesa.
Berbekalkan diploma dalam bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Shahrol Khairuddin memulakan langkah sebagai juruteknik di sebuah kilang elektronik di Shah Alam, Selangor.
Beliau yang selesa bekerja di kilang dengan pendapatan sebanyak RM2,800 sebulan bagaimanapun berhenti selepas sembilan tahun berkhidmat di situ.
Kepada sesetengah orang, mungkin sudah terlewat untuk beralih arah apatah lagi dalam bidang berbeza. Lebih-lebih lagi, kerjaya tersebut cukup sebati dengan jiwa anak muda yang berasal dari Bukit Payung, Marang itu.
Pada masa itu juga, Shahrol Khairuddin sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab untuk menyara keluarganya.
Menceritakan penglibatannya dalam kraf tembaga, Shahrol Khairuddin bermula sebagai peniaga kraftangan tembaga secara sambilan pada tahun 2000 di stadium Shah Alam.
Ketika itu tidak banyak produk tembaga dijual situ, sekali gus menjadikan perniagaan Shahrol Khairuddin berkembang.
Ditambah pula beliau mempunyai akses untuk mendapatkan bekalan tembaga pada harga yang murah di Terengganu.

Pada ketika itulah Shahrol Khairuddin mula sedar barang-barang tembaga semakin hari semakin berkurangan ekoran kurangnya pengusaha yang mahu meneruskan tradisi pembuatan kraf tembaga.
Senario itu dapat dilihat di lokasi utama penjualan kraf tembaga iaitu di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu apabila kebanyakan peniaga hanya menjual produk tembaga yang diimport dari Thailand.
“Bertitik tolak dari situ, saya nampak peluang saya dalam bidang ini.
“Kebetulan juga saya ternampak iklan di dalam akhbar mengenai satu program anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan juga Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” katanya ketika ditemui sempena lawatan Kraftangan Malaysia ke pusat pembuatan tembaganya di K6, Kawasan Industri Mara, Bukit Kor, Marang baru-baru ini.
Selepas menerima latihan selama enam bulan, dia bekerja di SIRIM selama dua tahun dan mula menghasilkan produk sendiri sehingga dia mampu berdikari.
![]() |
| SHAHROL KHAIRUDDIN mengakui permintaan produk tembaga tidak pernah mengecewakan. |
Empat tahun lalu, Mara menyediakan tempat untuk disewa bersama peralatan di lokasi sekarang. Di situlah dia mula menjalankan kerja-kerja membuat tembaga dengan dibantu oleh beberapa orang pekerja.
“Sepanjang tempoh ini, permintaan memang tidak pernah mengecewakan kerana dengan bantuan Mara, Kraftangan Malaysia dan beberapa pihak lagi saya sentiasa menerima tempahan.
“Saya juga pernah berputus asa dengan industri ini, tapi saya cekalkan hati kerana ini adalah punca rezeki saya,” katanya.
Masalah utama adalah kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja kerana bidang ini kurang diminati oleh anak-anak muda pada masa kini.
“Saya tidak mampu meneruskan tradisi ini secara bersendirian dan saya juga tidak mempunyai kudrat untuk menyediakan segala tempahan. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih mampu bertahan sehingga ini,” jelas beliau.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: