KUALA LUMPUR - Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) kini berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai aspirasinya bagi mewujudkan perusahaan makanan dan minuman serantau bertaraf dunia.
Misi itu bakal dicapainya ekoran langkah strategik syarikat untuk meningkatkan ekuiti dalam perniagaan makanan dengan membuat pelaburan pertama dalam syarikat pengeluar makanan di Malaysia, Cocoaland Holdings Bhd. (Cocoaland) yang bernilai RM54.6 juta.
Cocoaland merupakan sebuah syarikat senaraian awam dan salah satu pengilang makanan konfeksi terbesar negara yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan buah-buahan dan coklat seperti jus, biskut dan wafer, kacang, gula-gula, jeli dan minuman ringan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Datuk Ng Jui Sia, pembelian kepentingan 23.09 peratus dalam Cocoaland itu akan mengukuh dan mempercepatkan pembangunan produk dalam portfolio makanan dan minuman serantaunya.
"Kami akan bekerjasama dengan Cocoaland untuk menggunakan pelbagai kekuatan pengedaran, pemasaran dan keupayaan bagi membangunkan sektor ini.
"Kami yakin melaluinya, rangkaian hubungan dengan peruncit termasuk rangkaian kedai runcit dan restoran dapat ditingkatkan dan dapat memastikan edaran yang lebih luas terhadap produk keluaran Cocoaland," katanya pada majlis menandatangani perjanjian langganan antara kedua-dua pihak itu di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: