Wednesday, August 18, 2010

Kibar Jalur Gemilang bersama Petronas


SEBAHAGIAN daripada 700 pelajar bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik pada majlis Kibar Jalur Gemilang Bersama Petronas 2010 di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching, semalam.


KUCHING 17 Ogos - Seramai 700 pelajar dari 10 buah sekolah di sini menzahirkan semangat cintakan negara dengan menjayakan program Kibar Jalur Gemilang Bersama Petronas 2010 yang turut disertai guru dan kakitangan Petronas Wilayah Sarawak hari ini.

Majlis tahunan anjuran Petronas yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Petronas bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tidak lama lagi.

Sekolah yang terlibat ialah SK Gita, SK Gita No. 2, SK Matang, SK Matang Jaya, SK Chung Hua Batu 7 dan SK Petra Jaya.

Turut menjayakan program itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Matang Hilir dan SMK Matang Jaya.

Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti deklamasi sajak dan penyerahan Jalur Gemilang kepada 10 buah sekolah terlibat serta nyanyian lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan Tanggal 31.

Turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak, Datin Mary Sadiah Zainuddin, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Bolkiah Ali dan Guru Besar SK Petra Jaya, Abang Sepali Abang Sepawi.

Mary Sadiah ketika berucap pada majlis itu berkata, Kibar Jalur Gemilang Bersama Petronas 2010 merupakan program tahunan badan korporat itu untuk menanam rasa cinta dan patriotisme pelajar kepada negara.

Selain itu, katanya, Petronas berharap generasi muda akan dapat menghayati erti sebenar kemerdekaan dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu bagi memastikan negara ini bebas daripada belenggu penjajah.

''Walaupun kita sudah merdeka, kita berdepan cabaran penjajahan pasca merdeka menerusi pemikiran yang boleh mendatangkan bencana jika tidak dikawal," katanya.

Mary Sadiah memberitahu, Petronas akan memilih sekolah-sekolah yang berbeza setiap tahun dan pada masa yang sama menjemput sekolah lain untuk menjayakan program Kibar Jalur Gemilang Bersama Petronas 2010.

Tambahnya, selain sekolah di Kuching, pihaknya turut mengadakan program itu di Miri dan Bintulu pada 18 dan 24 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: