![]() |
| BIEBERVISION dirancang bagi membawa jejaka ini bertentang mata dengan para peminatnya di Malaysia. |
ANAK muda ini baru berumur 16 tahun tetapi kecohnya bukan kepalang sehingga mencetuskan fenomena yang tersendiri.
Nasib jejaka dengan nama Justin Bieber (sebutannya Bee-ber) ini bak sabut yang sentiasa timbul di permukaan industri seni nyanyian yang baru dijejakinya.
Bakatnya dikesan oleh Scooter Braun pada tahun 2008 melalui laman web perkongsian video Youtube dan kemudian menjadi pengurusnya.
Scooter bijak apabila memperkenalkan Justin kepada Usher di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.
Justin yang ketika itu berumur 14 tahun menjadi artis di bawah payung Raymond Braun Media Group milik Usher.
Walaupun sedang mencipta nama dan wang, Justin tetap dididik bersederhana dalam kehidupan glamornya.
Bintang pop tersebut pernah menyatakan bahawa ibunya, Pattie Mallette serta pengurus perniagaannya, Scooter Braun, mengajar dia agar Justin tetap hidup sederhana.
Justin hanya diberikan wang saku sebanyak AS$50 (AS$1=RM3.14) sehari meskipun dia dilaporkan sudah memiliki aset bernilai AS$100 juta.
"Ibu selalu mengajar saya menguruskan wang dengan cermat.
"Jika saya menyimpan wang saku selama seminggu, maka saya akan mempunyai beberapa ratus dolar yang boleh saya habiskan untuk sesuatu yang istimewa," ujar Justin yang teringin untuk keluar temu janji dengan penyanyi Katy Perry dan Cheryl Cole.
Kilas balik fenomena Justin bergelar penyanyi, single perdananya, One Time dilancarkan pada tahun lalu dan terus merajai carta di 30 buah negara.
Percambahan minat dan kegilaan umum terhadap jejaka kelahiran Kanada ini disusuli dengan single My World yang menjadikan dia sebagai pendatang baru dengan jumlah penjualan single perdana terbanyak pada 2009.
Disebabkan kegilaan terhadap jejaka ini sedang memuncak, pihak Universal Music Malaysia mengadakan satu kempen yang dinamakan Biebervision.
Sebuah kempen yang merapatkan peminat setia Justin dengan dirinya.
Tiada jurang yang mahu diletakkan antara para peminat dan remaja lelaki tersebut.
Kempen Biebervision yang dilaksanakan oleh pihak Unversal Music Malaysia ini antara lain memberikan akses lengkap dan mudah kepada peminat setia Justin.
Para peminat yang sentiasa dahagakan kisah, gosip mahupun gambar Justin dapat menjadi 'rapat' dengan penyanyi tersebut dengan melayari laman web sosial Facebook di bawah akaun Universal Music Malaysia.
Dengan memberikan sebuah pos berdasarkan rasa cinta dan kasih terhadap penyanyi ini, fasa pertama kempen ini memerlukan 5,000 pos cinta terhadap Justin.
Untuk itu, mereka berpeluang mendapat nada dering (True Tone) lagu One Time yang telah diremikskan secara percuma.
Mereka turut menerima baucar yang membolehkan mereka mendapat sekeping poster besar Justin.
Tidak terhenti di situ, kempen Biebervision fasa kedua memerlukan 10,000 peminat menghantar pos cinta mereka ke akaun yang sama.
Sebagai balasan, mereka akan menerima gambar eksklusif Justin yang ditandatanganinya sendiri.
Fasa grand kempen Biebervision memerlukan 5,000 peminat lagi yang dipanggil Beliebiers.
Genap mendapat 15,000 peminat di laman tersebut, mereka akan mendapat keahlian rasmi seumur hidup untuk Kelab Peminat Justin Bieber Malaysia.
Kad keahlian itu adalah akses tanpa had untuk semua informasi perihal tiket konsert, cenderahati dan item eksklusif buat ahli-ahli Justin Bieber.
Kempen ini juga sebahagian usaha Universal Music Malaysia untuk memujuk pihak pengurusan Justin supaya membawa artis cilik fenomena itu ke Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: