PERKAHWINAN penyanyi Rashid Abdul Wahad atau lebih dikenali sebagai Shidee dengan gadis berusia 22 tahun, Khairunnisa Aziz pada 1 Februari lalu sebelum ini ditentang keras oleh ibu mertuanya, Jamaliah Hassan, 45.
Malah, Jamaliah juga tidak merestui perkahwinan itu dan membuat laporan polis Januari lalu mendakwa anaknya dilarikan Shidee.
Maka kecoh sekejap Malaysia dengan kisah tersebut yang antara lain menjadi tegang kerana Shidee dianggap sebagai punca kepada kemelut cinta itu. Jamaliah mendakwa, Shidee terlebih dahulu memikat dirinya sebelum secara senyap-senyap menjalin cinta dengan anak gadisnya sebelum mereka didakwa kahwin lari.
Namun, segala masalah telah berakhir apabila Shidee hadir bersama isteri dan ibu mertuanya pada majlis Semarak Ramadan Bersama Karyawan baru-baru ini.
Hubungan tegang kini sudah pulih apabila dia juga sudah boleh makan semeja dan berbual mesra bersama ibu mertuanya itu.
Menurut penyanyi yang berusia 51 tahun itu, hubungan antara dia dan ibu mertuanya sudah kembali pulih sejak sebulan yang lalu dan berharap ia akan berpanjangan.
"Kami sudah berbaik sejak sebulan lalu. Kalau sudah sekeluarga, bergesel macam manapun, lama-lama akan baik juga. Saya berharap hubungan baik ini akan berterusan. "Boleh dikatakan bulan Ramadan dan raya tahun ini merupakan tahun yang paling menggembirakan saya.
"Selain kali pertama bakal beraya bersama isteri di kampung halaman saya di Bagan Datoh, Perak, saya juga sudah boleh mengunjungi ibu mertua saya. Kita buang yang keruh ambil yang jernih dan doa yang terbaik," kata platun lagu popular sekitar 80-an yang berjudul Sayang Semuanya Sudah Terlambat itu lagi.
Kini setelah tujuh bulan memperisterikan Khairunnisa kehidupannya, semakin teratur dan lengkap. Shidee juga sudah lali dengan pandangan orang mengenai dirinya sejak memperisteri gadis berusia 22 tahun itu.
"Saya sudah biasa. Biarlah orang nak pandang sinis atau nak kata apa sekali pun, ini sudah jodoh buat saya, saya terima dengan reda. Tidak kiralah saya kahwin dengan orang muda atau tua sekali pun, semua itu kerja Allah. Alhamdulillah saya kini, melalui fasa kehidupan yang amat bahagia," tuturnya yang akan muncul dengan album baru berjudul Jamilah yang memuatkan lapan buah lagu tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: