Saturday, August 21, 2010

Kelindan maut, drebar koma

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan terbunuh manakala pemandunya koma apabila lori yang membawa daging babi beku dinaiki mereka gagal dikawal selepas merempuh sebuah treler di Kilometer 451.4, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Sungai Buloh, pagi semalam.

ANGKAT...anggota polis mengusung mayat mangsa, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengusung mayat mangsa, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lori dipandu lelaki yang dikenali sebagai Subramaniam, 32, dan kelindannya, Sin Kwai Chin, 57, dalam perjalanan dari Menglembu, Ipoh, Perak menghala ibu negara untuk menghantar daging itu.


Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata lori terbabit merempuh belakang treler yang membawa simen.


Difahamkan, pemandu treler itu mendengar dentuman, tetapi tidak menyangka lori terbabit merempuh bahagian belakangnya lalu mengheret kira-kira 150 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan.


Kemalangan itu berlaku kira-kira dua kilometer sebelum susur keluar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), dekat sini.

“Kelindan lori tersepit di tempat duduknya dan mati di tempat kejadian kerana parah di kepala selain patah kaki. Pemandunya pula cedera parah.


“Pemandu treler dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Kangsar, Perak, menuju Sungai Buloh, Selangor, tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Ipoh dibawa ke HSB untuk bedah siasat dan pemandunya dipercayai koma serta menerima rawatan lanjut di hospital sama.


Berikutan itu, pengguna lebuh raya dari utara menuju Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: