Saturday, August 21, 2010

'Anak saya dunia dan akhirat'

WALAUPUN Noor Adam Daniel bukan darah dagingnya sendiri, namun kanak-kanak yang baru berusia 2 tahun 4 bulan itu menerima kasih sayang yang melimpah ruah dari ibu angkatnya yang juga pelakon jelita, Rabecca Nur Al Islam Ahmad, 24. Segala yang terbaik disediakan untuk Adam yang sangat keletah dan semakin bijak berkata-kata.

pix_middle



Adam yang memanggil ibunya mummy sangat manja dan pandai beraksi depan lensa kamera mengikut cara ibunya bergaya dan bergambar. Setiap kali mummynya menyebut 'smile' dia akan tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Tika dia datang ke Balai Berita bersama Rabecca untuk sesi fotografi itu, moodnya tengah baik dan bersedia memberikan beberapa aksi menarik.

“Dialah pengarang jantung hati saya. Adam sangat bijak dan jika sehari tidak bersamanya terasa rindu. Sebab itu pada Ramadan ini, saya kurangkan aktiviti di luar termasuk dan tidak banyak terima tawaran penggambaran drama untuk menghabiskan masa bersamanya. Kasihan juga setiap hari dia bersama pembantu rumah dan neneknya.

“Hendak juga dia tengok dunia luar tambahan Adam sedang membesar dia perlu melalui pengalaman baru sesuai usianya itu. Waktu saya ambil dia dulu, kulitnya sangat gelap dan tak sangka dia membesar menjadi kanak-kanak yang sihat dan bijak. Sejak usia dia lapan bulan saya hantarnya ke sekolah di Ampang yang turut menyediakan pusat jagaan harian. Sekarang ini, dia dah pandai mempermainkan saya.

“Tubuhnya juga semakin berisi, sekarang sudah 22 kilogram. Bimbang melihatkan peningkatan tubuhnya yang agak ketara saya membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor beritahu dia sihat.

“Walaupun tubuhnya berisi namun Adam kanak-kanak yang aktif dan lasak. Dia suka memanjat. Ada saja benda yang dia hendak buat, jarang duduk diam.“Apapun jua minatnya nanti saya akan memberikan galakan. Mengenangkan nasibnya yang ditinggalkan ibu bapa sejak dilahirkan saya berazam membesarkan Adam dengan sepenuh kasih sayang dan menyediakan segala keperluan untuknya.


“Sebagai persediaan masa depan saya menyediakan semua dokumen termasuk hak penjagaan saya terhadapnya kerana tidak mahu ada sebarang masalah pada kemudian hari. Pernah terdengar ketika bayi anak itu ditinggalkan tetapi selepas ia membesar, ibu bapa kandung akan menuntutnya semula.“Saya tidak mahu perkara itu terjadi pada Adam. Susah payah saya menjaganya sejak kecil. Bermula hari pertama saya menjaganya dia adalah anak saya dunia dan akhirat. Sekiranya saya bertemu jodoh nanti dan ada anak sendiri, Adam tetap dianggap anak sulung saya,” katanya.

Rabecca juga semakin tidak faham peri laku remaja hari ini yang terjebak melakukan maksiat bersama kekasih hati atau mengamalkan seks bebas dan apabila hamil, anak itu dibuang tanpa peri kemanusiaan.

“Anak kucing pun kita tak sampai hati hendak mencampaknya dalam tong sampah, tetapi manusia yang tiada hati perut ini sanggup membunuh darah daging sendiri. Apa perasaan mereka ketika mencampakkan anak itu di tepi longkang, dalam semak, dibakar hidup-hidup dan disumbat dalam lubang tandas.

“Ramai yang mahu membela anak itu. Remaja hari ini semakin tiada harga diri dan maruah dicampak ke tepi,” katanya.

Menyambut Syawal ini, Rabecca membeli-belah persiapan raya di Jakarta dan ketika artikel ini ditulis dia berada di sana bersama kakaknya. Dia juga dalam debaran menunggu kemunculan filem terbaru lakonannya, Keramat terbitan MIG. Dia memainkan peranan utama bernama Shazura.

“Keramat kisah 500 tahun dulu. Bagaimanapun Shazura digambarkan hidup pada zaman sekarang. Dia bersuamikan Zul Handy Black dan seorang isteri yang baik. Shazura hamil dan suatu hari suaminya mengajaknya menyambut hari jadi di hutan sebagai kejutan untuknya. Balik dari sana kandungannya hilang dan Shazura yakin ia angkara penunggu hutan itu.

“Tetapi semua orang tidak percaya dengan cerita saya. Sebenarnya ada kisah di sebalik apa yang berlaku. Keramat filem pertama saya pegang watak utama. Pernah juga berlakon filem sebelum ini namun hanya diberi watak tempelan,” katanya.

Drama terakhir lakonannya bersama Fasha Sandha berjudul Rahsia Shaliza dan akan mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon selepas Syawal ini.

Dia juga mendapat gerai di bazar Ramadan yang diusahakan Persatuan Seniman Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur namun kerana Ramadan ini dia ingin meluangkan lebih masa bersama Adam, Rabecca menyerahkan gerai itu kepada rakan baiknya Fouziah Gous yang menjual aneka juadah berbuka puasa di sana.

“Puasa tahun ini saya lebih banyak rehat. Kalau terpaksa keluar pun, saya hanya menghadiri jemputan berbuka puasa,” katanya.


>PROFIL
NAMA: Rabecca Nur Al-Islam Ahmad
SIA: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 30 April 1986
ASAL: Johor Bahru
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
KELUARGA: Anak ketujuh daripada lapan beradik
STATUS: Bujang
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Simbiosis, Gerak Khas, Dua Hati, Dendam, Cinta Bukan Di Atas Kertas, Korban Sakina, Tangisan Bulan Madu, Bulan Bertemu Bintang, Selembut Sutera Kilauan Mutiara, Sutera Maya, Gadis Kosmo, Kasih Alam, Serpihan Laungan Takbir, Jangan Tegur Lagi, Jalan Pinang Sebatang.
FILEM: Malaikat Maut, Keramat
TEATER: Anom, Di Mana Bumi Dipijak dan Sirah Junjungan Tahajud Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: