![]() |
| Rohaizat Man (kiri) dibantu anak-anaknya melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di Bazar Ramadan Jalan Pasar, Kampung Manjoi, Ipoh, Perak. |
DALAM dunia perniagaan, penawaran produk atau perkhidmatan yang berbeza daripada pesaing menjanjikan lebih kejayaan kepada pemilik atau pengusahanya.
Konsep sama digunakan pasangan suami isteri Rohaizat Man, 42, dan Faridah Osman, 41, yang sepanjang Ramadan ini berniaga juadah berbuka puasa di gerainya di Bazar Ramadan Jalan Pasar, Kampung Manjoi, Ipoh, Perak.
"Kami berniaga kecil-kecilan sahaja. Alhamdulillah, oleh kerana juadah berbuka yang kami jual ini berbeza daripada gerai-gerai lain, maka gerai kami mendapat sambutan baik pengunjung," katanya ketika ditemui di bazar tersebut.
Menamakan gerai tersebut sempena nama kedai makannya, Silver Green yang terletak di Lot 107266, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 Hujung, Ipoh, Perak, Rohaizat memberitahu, ada juadah yang dijual itu diciptanya sendiri.
"Saya pernah bekerja di beberapa hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan Brunei sebagai chef. Dengan pengalaman itulah, saya mencipta menu-menu istimewa untuk berbuka puasa," katanya.
Antara menu istimewa itu ialah sup krim cendawan, tauhu Cina masak halia, ayam BBQ dan ayam lemon.
"Nak beri nama khas pada masakan-masakan itu, kami tak berapa pandai. Tetapi ramuan yang digunakan adalah berbeza daripada menu asal," ujarnya lagi.
Sejak tiga tahun lalu berniaga di Bazar Ramadan tersebut, gerai Silver Green tidak melupakan menu 'wajib' yang sentiasa mendapat sambutan baik pengunjung. Menu-menu itu ialah taufu Jepun masak sos tiram, ayam kongpo, ayam masak merah, baby kailan goreng ikan masin, dalca, kerabu mangga, selain nasi kerabu, nasi ayam merah dan nasi ayam Hainan.
Dari segi harga, katanya, walaupun harga barangan keperluan meningkat, namun beliau tidak menaikkan harga jualan.
"Harga sama seperti tahun lalu iaitu RM2 hingga RM3.50. Kami faham kesusahan pengguna, jadi kami mahu berkongsi kepayahan mereka. Kami tidak kisah jika mendapat untung sedikit. Apa yang penting kami dapat menawarkan masakan yang sedap dan berkualiti kepada pengunjung," katanya.
Mungkin kerana itulah, gerai Silver Green menjadi gerai paling awal ditutup iaitu sekitar pukul 6.30 petang sebaik sahaja kesemua sajian habis dijual.
Selain itu, dia juga sedia menerima tempahan khas untuk rumah terbuka sempena Aidilfitri dan majlis-majlis lain.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: