Sunday, August 29, 2010

Iwan teringat memori mercun




Dua minggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri. Menjelang tibanya hari raya kita sudah dengar macam-macam cerita kurang manis sehingga menjejaskan sambutan raya.

Kita sudah dengar ada mangsa yang meninggal dunia gara-gara mercun. Yang cedera juga semakin hari semakin bertambah. Semuanya gara-kara kesalahan sendiri dan kesilapan orang lain.

Calon Pencarian Kacak bergaya 2011 minggu ini, Khairil Azuan Muhammad dari Kota Bharu, Kelantan ini juga ada pengalaman pahit yang mahu dikongsi agar dapat menjadi teladan kepada pembaca.

"Pada malam menjelang hari raya beberapa tahun lalu abang saya mengajak saya menemaninya bermain mercun. Saya ikut saja sebab memang seronok apabila dengar bunyi mercun yang kuat.

"Pada masa itu saya berusia 17 tahun dan abang saya awal 30-an. Saya ingatkan nak main mercun biasa, rupa-rupanya abang saya buat sendiri mercun daripada batang tembaga. Entah macam mana selepas menyalakan mercun tu, kaki abang saya tersepak kayu dan dia jatuh dekat dengan mercun.

"Apabila meletup, serpihan mercun terkena kakinya dan terluka. Waktu itu pukul 3.00 pagi dan pagi itu juga dia dibawa ke hospital. Nasib baik lukanya tidak teruk sangat tapi terpaksalah abang saya beraya di rumah sahaja dengan kaki yang berbalut.

"Bila melihat keadaan abang macam itu terus saya insaf dan tak mahu bermain mercun lagi, kalau main pun yang kecil-kecil sahaja," kata Khairil Azuan atau lebih mesra dipanggil Iwan.

Dulu orang Kelantan senang dapat bekalan sebab banyak orang menjual mercun yang diseludup masuk dari negara jiran. Sekarang agak berkurangan sebab pihak penguatkuasa aktif membanteras kemasukan barang larangan itu.

"Tahun ini kurang meriah bunyi mercun sebab payah nak dapat bekalan. Baik juga sebab ia akan mengurangkan kemalangan akibat main mercun," kata Iwan kepada Pancaindera.

Iwan juga teringat kenangan dikejar orang tua gara-gara tak dengar larangan bermain mercun semasa awal usia remaja.

"Semasa saya tingkatan tiga, saya ni nakal juga. Dekat dengan rumah saya ada orang meninggal dunia, jadi seorang pak cik menasihati kami agar jangan membuat bising. Selepas kelibat pak cik itu tak nampak, kami terus juga membakar mercun.

"Kemudian pak sik itu datang semula... apa lagi kamu pun buka langkah seribu untuk menyelamatkan diri daripada kena marah," imbaunya.

Iwan sekarang tinggal di Kelantan bersama keluarga dan akan kembali semula ke ibu negara selepas hari raya nanti untuk sambung pengajian.

"Sebenarnya saya sedang belajar jurusan rekaan dalaman di sebuah kolej. Selepas tamat satu semester saya membuat penangguhan dan bekerja dahalu di sebuah pelantar mintak di Kelantan selama beberapa bulan.

"Saya memang minat rekaan dalaman sebab saya ni jenis yang suka membuat perubahan. Susun letak bilik saya juga kerap berubah. Saya akan rasa bosan kalau susun letak bilik saya sama sahaja.

"Saya rasa bidang ini sesuai dengan jiwa saya dan saya juga memang meminatinya," sambung Iwan yang juga ingin meninjau dunia peragaan.

Penyertaannya dalam Pencarian Kacak bergaya 2011 juga dengan hasrat mahu mendedahkan dirinya. Iwan harap apabila kembali menetap di Kuala Lumpur, beliau akan capai impian tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: