Tuesday, August 3, 2010

Hamper bentuk barang lebih bernilai

PENGHANTARAN hamper serta cenderahati menjelang Ramadan sehingga Aidilfitri menjadi tradisi kini.

pix_middle



Sama ada diberikan kepada syarikat korporat mahu pun orang perseorangan, pengisian hamper biasanya mengikut kesesuaian sesuatu perayaan. Jika dahulu, barangan berbentuk makanan seperti biskut, kek dan manisan menjadi pilihan tetapi kini perhiasan seperti sudu dan garfu, set cawan, pinggan, mangkuk serta pakaian seperti telekung, minyak wangi, kain pasang, selendang, kain batik atau pelekat bertukar ganti, disusun rapi bersama makanan.


Ada juga yang meminta diletakkan tasbih, kopiah, kurma serta kitab tafsir al-Quran sebagai menghormati Ramadan.


Menurut pemilik Cendrasari Enterprise (Cendrasari), Allyn Rabiah, barang hamper berbentuk hadiah diberikan sebagai penghargaan dan tanda terima kasih atas sokongan yang pernah diberikan sama ada ditujukan untuk syarikat korporat atau sesiapa sahaja.


Justeru, hadiah berbentuk barangan lebih bernilai kerana boleh disimpan dan dikenang sepanjang zaman. Berbeza dengan makanan kerana ia habis begitu sahaja.

Sebagai memenuhi permintaan pelanggan, Cendrasari menyediakan tempahan untuk syarikat korporat atau orang perseorangan mengikut bajet serta konsep hamper yang dikehendaki mereka.


Selain barangan di dalam hamper, bahan asas digunakan seperti bakul yang diperbuat daripada rotan, kayu, besi dan kaca sangat eksklusif. Balutan yang kemas menggunakan reben serta gabungan warna korporat nampak ringkas sesuai untuk penerimanya.


"Sengaja kami tampilkan kelainan kerana kebanyakan hamper ditujukan untuk syarikat korporat. Justeru, penggunaan bekas, teknik balutan hamper serta warna memainkan peranan penting.


"Warna coklat digabungkan dengan krim dan reben keemasan mencetuskan keistimewaan tersendiri. Lebih penting, setelah barang digunakan atau dimakan, bekasnya boleh disimpan dan dijadikan perhiasan rumah," katanya yang mendapatkan bekas eksklusif ketika berkunjung ke Thailand, China dan Vietnam.


Hamper boleh ditempah dalam jumlah minimum 30 hamper untuk syarikat kecil manakala syarikat besar biasanya berjumlah 200 sehingga 1,000 hamper yang boleh disiapkan pada satu masa.

Harga dikenakan serendah RM50 sehingga RM500 mengikut ukuran dan jenis hamper. Ia biasanya bergantung kepada barangan di dalamnya.

Bagi yang ingin memberikan cenderahati kepada rakan dalam bajet yang rendah boleh membeli set kurma di dalam bakul rotan berharga RM10 sahaja.

Semua hamper boleh ditempah mulai sekarang sehingga tarikh akhir selewat-lewatnya dua minggu sebelum Aidilfitri bagi memudahkan penghantaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: