GOLDEN Palm Growers Bhd (GPGB) akan melancarkan skim pelaburan unik akhir bulan ini yang menyediakan peluang bagi pelabur tempatan berkongsi keuntungan daripada projek ladang sawit yang dimajukannya di Gua Musang, Kelantan.
Pengerusi Eksekutifnya, Andrew Phang, berkata menerusi skim pelaburan yang kali pertama diperkenalkan di Malaysia itu, pelabur akan berpeluang melabur dalam plot ladang berkenaan mengikut saiz tertentu.Pelabur bagaimanapun, katanya perlu melabur dalam nilai yang menyamai keluasan sekurang-kurangnya satu perempat ekar plot.Peluang sebegini biasanya hanya boleh dinikmati syarikat perladangan besar yang mempunyai wang untuk membangunkan tanah ladang berskala besar.
Menerusi skim ini, pelabur tempatan berpeluang untuk turut sama meraih keuntungan hasil daripada perladangan sawit, iaitu satu komoditi berharga tinggi, katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Phang berkata, ladang sawit itu dibangunkan di atas tanah seluas 40,000 hektar milik kerajaan Kelantan yang diberikan sebagai konsesi untuk dimajukan GPGB pada 2007 selama 60 tahun dan pilihan melanjutkan tempohnya untuk 30 tahun lagi.
Selepas memperoleh konsesi itu, kami memulakan kerja penanaman yang mana sehingga kini Fasa 1 seluas 800 hektar sudah 30 peratus ditanam dan akan mula berbuah dalam tempoh 30 bulan akan datang.
Keseluruhan ladang itu akan ditanam dalam tempoh tiga tahun akan datang manakala hasilnya dijangka diperoleh pada 2016, katanya.
Phang berkata, skim pelaburan itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan pelabur tempatan berdasarkan potensi pasaran yang besar bagi minyak sawit ketika ini dan pada masa depan.
Beliau berkata, harga minyak sawit mentah berpotensi untuk terus meningkat dan mampu mencecah sehingga RM10,061 setan dalam tempoh 20 tahun akan datang berdasarkan purata peningkatan harganya pada tujuh peratus setahun ketika ini.
Minyak sawit juga menjadi minyak makan yang mencatatkan jualan tertinggi ketika ini dengan kebanyakan daripada permintaan itu datang dari negara kuasa ekonomi seperti India dan China. Ia menguasai 36 peratus daripada pasaran minyak makan dunia tahun lalu, katanya.
Prospektus skim pelaburan GPGB akan dikeluarkan 20 Ogos ini yang mana AmTrustee Bhd, ahli kumpulan AmInvesment Bank Group dilantik sebagai penjaga amanah bagi skim pelaburan itu.
Phang berkata, skim pelaburan itu juga telah diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala pelantikan AmTrustee sebagai pemegang amanah bertujuan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap skim itu.
GPGB yang ditubuhkan pada 2007 adalah anak syarikat milik penuh Sterling Plantations Sdn yang sebaliknya adalah anak syarikat milik penuh Sterling Biofuels International Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Australia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: