Tuesday, August 24, 2010

Fimie Don Dihempap Skuter

Fimie Don tak kisah cedera dihempap skuter semata-mata komitmen lakonannya.

JIKA dilihat pada susuk fizikalnya, aktor cilik Shafimie Saedon atau lebih dikenali sebagai Fimie Don mungkin tiada bezanya dengan kanak-kanak seusianya dengannya.

Namun apabila menyentuh tentang kerja, komitmen kanak-kanak berusia 12 tahun ini terhadap bidang lakonan memang mengagumkan.

Bukan sahaja popular dan berbakat besar, malah Fimie juga sanggup menahan kecederaan yang dialami di bahagian belakang badannya gara-gara dihempap skuter ketika terlibat dalam penggambaran filem Senario Asam Garam.

"Kemalangan itu berlaku ketika saya sedang melakonkan babak di mana skuter yang saya tunggang secara tiba-tiba menjadi terbelah dua.

"Menurut skrip, babak skuter terbelah dua itu memang bertujuan untuk menimbulkan komedi dalam filem itu. Entah macam mana ketika penggambaran berlangsung, skuter yang saya tunggang itu hilang kawalan dan menghempap badan saya.

"Bayangkanlah, motor sebesar itu menindih badan saya yang kecil ini. Memang sakit sangat hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang," katanya.

Namun, dek komitmen dan kecekalannya, dia bagaimanapun menolak untuk dihantar ke hospital sejurus selepas insiden itu berlaku. Sebaliknya, Fimie menggagahkan diri dan meneruskan babak itu.

"Selepas insiden itu berlaku, pihak produksi hendak menghantar saya ke hospital bagi mendapatkan rawatan tetapi saya menolak sebab nak teruskan penggambaran.

"Saya gagahkan diri juga dan tahan sakit sebab saya tak mahu rosakkan kesinambungan babak itu sehingga penggambaran selesai," ceritanya.

Fimie diapit oleh para pelakon filem Senario Asam Garam. Dari kiri: Sathiya, Julia Hana, Azlee, Adeline Tsen dan Mazlan Pet Pet.

Ditanya tentang pengalaman berlakon di samping kumpulan pelawak terkenal Senario di dalam filem tersebut, Fimie berkata peluang bergandingan secara langsung dengan Azlee dan Mazlan adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan.

Pertama kali berlakon bersama, Fimie yang cukup dikenali menerusi sitkom Hikayat Putera Shazlan ini turut mengakui berlakon di samping Senario memang sudah menjadi impiannya sejak dulu lagi.

"Memang sudah lama saya menanam impian untuk berlakon bersama kumpulan Senario. Apabila pihak produksi menawarkan peluang ini, memang saya tak fikir dua kali dan terus terima tawaran itu sebab memang nak berlakon sangat dengan mereka.

"Walaupun sebelum ini saya sudah biasa berlakon dalam drama komedi dan sitkom tetapi pengalaman bekerja dengan Senario memang berbeza sebab saya banyak belajar daripada mereka teknik terbaik untuk membuat lawak ketika sedang berlakon.

"Pada awalnya, saya agak kaku dan kekok juga untuk berlakon di samping mereka. Apa yang saya lihat, mereka cukup profesional dan hanya berlawak ketika dalam filem saja. Apabila tidak berlakon mereka tidak berlawak tak tentu pasal," katanya.

Dalam filem arahan Hatta Azad Khan itu, Fimie menggalas watak Amin iaitu seorang kanak-kanak yang bijak dan suka mencipta gajet daripada barangan terbuang.

Gajet ciptaannya itu akhirnya membantu Amin untuk menyelamatkan ibunya, Cik Hawa (Julia Hana) apabila diculik oleh Asam (Zaibo) dan Garam (Mazlan Pet Pet) dengan bantuan Pak Adam (Azlee Jaafar) dan Tam (Sathiya).

Filem Senario Asam Garam yang akan ditayangkan pada 9 September 2010 ini bakal memberi saingan kepada sebuah lagi filem komedi, 4 Madu arahan Razak Mohaideen di musim raya ini.

2 comments:

  1. yudiawan85@hotmail.comSeptember 26, 2011 at 7:57 PM

    kasiannye....semoga adik fimmie cepat sembuh k,,,..amiiiiin

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: