Wednesday, August 18, 2010

Farid hilang, Astro bengang

Farid Kamil
Farid Kamil
TIDAK tahu di mana puncanya, pelakon yang juga Wajah Eksklusif Astro, Farid Kamil tidak muncul menjayakan rakaman program raya Astro Prima berjudul Kampung Prima: Babak 105 hingga menyukarkan semua yang terbabit dalam produksi berkenaan.

Dia yang awalnya hadir pada sesi latihan sebelah siang, Jumaat lalu berjanji akan kembali semula ke studio untuk rakaman yang dijadualkan berlangsung waktu malam, namun kelibatnya langsung tidak kelihatan hingga program selesai kira-kira jam 12 tengah malam.Penerbit Eksekutifnya, Nizam Hamid, berkata sepanjang bekerja dengan Farid, pihaknya tidak berdepan masalah, namun insiden ketiadaannya tanpa sebarang makluman membuatkan skrip program muzikal komedi itu terpaksa dirombak.“Kami musykil kerana pada petang sebelum rakaman, Farid datang ke Astro, malah kita sudah mengingatkan semua yang terbabit dalam produksi ini termasuk dirinya supaya berkumpul semula selepas berbuka puasa seperti dijadualkan.

“Dia tidak pula memaklumkan mengenai sebarang masalah, cuma yang peliknya sudahlah tiada panggilan daripadanya, kami juga tidak dapat menghubunginya untuk mendapatkan kepastian,” katanya ketika ditemui di set rakaman penggambaran Kampung Prima: Babak 105 di Studio C, Astro Bukit Jalil.

Katanya, lebih merumitkan keadaan apabila menerusi sitkom komedi itu Farid yang memegang dua peranan, jadi merka terpaksa menyediakan pelan B bagi menghadapi situasi sebegini yang tentunya boleh membantutkan rakaman.

“Kita akan hantar surat aduan kepada Jabatan Astro Talent kerana selaku wajah Eksklusif Astro, Farid sepatutnya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin, sekali gus menjadi peringatan kepada pelakon lain supaya tidak bersikap ambil mudah.
“Bukan hanya Farid, mana-mana pelakon pun yang bekerja dengan produksi kami boleh merujuk terus kepada kami sekiranya ada masalah berhubung jadual, kita masih boleh berkompromi daripada ‘hilang’ tanpa dapat dikesan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pembantu Naib Presiden Unit Bakat dan Strategi, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Norizan Abu Samah, menjelaskan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan susulannya perbincangan akan diadakan bagi mendapatkan keputusan dalam tempoh terdekat.

“Kita sudah menghubungi pengurusan MIG kerana Farid masih berada di bawah naungan syarikat produksi terbabit kerana berdasarkan perjanjian awal sebagai Wajah Eksklusif Astro, dia hanya dipinjamkan, tetapi kami tetap memandang serius perkara ini,” katanya.

Farid pula yang baru selesai menjalani penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid, Apokalips tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan keadaan itu.

Mengenai Kampung Prima: Babak 105, Nizam berkata, ia satu-satunya program muzikal hari raya berunsur sitkom di Astro Prima yang menggabungkan artis lama dan baru termasuk Zizan, Saleh Yaacob, Julia Ziegler, Corinne Adrienne, Maslina Nasir, Angah Raja Lawak dan Nor Syuhaida (Dottie).

“Walaupun asalnya beberapa nama besar lain disenaraikan termasuk Erra Fazira dan Raja Azura untuk membintangi kisah yang diangkat daripada filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nasib Si Labu Labi, hasrat itu terpaksa dilupakan memandangkan mereka sudah terikat dengan komitmen lain.

“Populariti filem P Ramlee yang dikenang hingga kini membuatkan kami terpanggil menghasilkan sitkom ini. Bukan untuk meniru, sebaliknya cuba mengimbas semula nostalgia lalu kerana filem Allahyarham tiada tandingannya,” katanya.

Kisah berkisar kehidupan Kabu dan Kabi yang tinggal bersama majikan yang kedekut bernama Haji Kedek di Kampung Prima. Mereka menyukai anak gadis keluarga terbabit namun tidak mengetahui dara pujaan sudah mempunyai tunang di Kuala Lumpur.

Pelbagai kejadian mencuit hati berlaku sepanjang usaha mereka memenangi hati Fatimah terutama pada sehari menjelang Aidilfitri malah lebih menarik apabila hampir 15 lagu hari raya yang diberi sentuhan baru didendangkan dalam sitkom ini.

Sitkom terbitan Astro Productions Sdn Bhd itu dijadualkan menemui khalayak Astro Prima pada hari raya kedua, jam 10.30 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: