JIKA menonton lakonan Faizal Yusop (gambar), kebanyakan watak yang dilakonkan dalam drama mahu pun telefilem sejak akhir-akhir ini lebih kepada watak antagonis.
Di sebalik watak tersebut, Faizal berkata dia lebih puas memgang peranan diminta seorang yang jahat kerana watak itu lebih mencabar selain mampu mempelbagaikan lakonannya.
Kemampuan tersebut terbukti menerusi drama bersiri AdaMaya yang telah disiarkan beberapa bulan lalu.
Bekas suami penyanyi Siti Nordiana atau Nana ini tidak menafikan dia kerap melakonkan watak itu disebabkan tawaran yang diberikan.
Bagaimanapun ia tidak bermakna Faizal sudah terikat dengan watak seperti itu sampai bila-bila.
“Saya banyak berlakon watak orang jahat sebab kebanyakan tawaran yang saya terima hanya watak seperti itu. Lagipun saya sukakannya jadi buat apa nak tolak,” katanya kepada mStar Online.
Lakonannya sebagai orang jahat ternyata meninggalkan kesan kepada penonton sehingga ada yang menyangkanya memang bersikap begitu apabila di luar lokasi penggambaran.
“Biarpun selalu melakonkan sedemikian, ia tidak bermakna saya akan terikut-ikut menjadi jahat dan zalim pada dunia realiti saya kerana saya hanya seorang pelakon," katanya.
Sehingga kini, dia belum menerima apa-apa penghargaan atau anugerah dalam industri seni tetapi perkara itu tidak melunturkan semangatnya untuk terus berlakon kerana ia merupakan punca pendapatannya.
Selain berlakon, pelakon drama Nurul Iman di RTM1 itu juga menumpukan kepada perniagaan keluarganya. Di bulan Ramadan ini, dia membantu keluarga berniaga di Danau Kota, Setapak.
Tambahnya, dia ada juga menerima tawaran berlakon beberapa buah telefilem Hari Raya namun belum membuat apa-apa keputusan lagi.
Selepas bercerai dengan Nana pada 14 September tahun lalu, mereka bergilir-gilir menjaga anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Nakhaie berusia 2 tahun 5 bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: