Tuesday, August 17, 2010

Emerald Tulamben Resort and Spa, Bali, Bakal Jadi Kebanggaan Malaysia

KUMPULAN Virtual Peaks Sdn Bhd maju selangkah lagi apabila syarikat itu baru-baru ini mengumumkan pembelian dan pembangunan semula sebuah pusat peranginan dan spa bertaraf antarabangsa di Bali, Mei lalu.

Emerald Tulamben Resort and Spa (dahulu dikenali The Emerald Tulamben Hotel & Spa) seluas lima ekar itu kini sedang mengalami proses transformasi besar-besaran dan bakal menjadi destinasi utama untuk mereka yang bercitarasa tinggi dan mendambakan percutian privasi.

Terletak di Kampung Tulamben, daerah Karangasem di utara pantai timur Pulau Bali, keistimewaan pusat peranginan ini terletak pada keindahan, struktur binaan dan perkhidmatan gaya eksklusif yang ditawarkan.

Konsep alam semulajadi yang diketengahkan berserta bangunan rendah ala Bali yang dipadankan dengan hiasan dalaman penuh elemen tradisi menjadikan pusat peranginan ini bersatu dengan pepohon tropika dan alam semulajadi di sekelilingnya.

Emerald Tulamben Resort and Spa bakal menjadi destinasi utama untuk mereka yang bercitarasa tinggi dan mendambakan percutian privasi.

Bermula dengan keindahan matahari terbit, pemandangan senja yang memukau dan keasyikan merenung bintang di kedamaian malam, ianya menjadi daya tarikan unik dan paling unggul pusat peranginan ini.

"Emerald Tulamben Resort and Spa dibina di puncak cenuram, dengan pemandangan indah lautan terbentang luas di hadapannya dan kegemilangan Gunung Agong di belakangnya," kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Virtual Peaks Sdn Bhd, Datuk Hashimuddin Datuk Abdul Kadir.

Dalam majlis khas untuk mengumumkan projek antarabangsa utama syarikat ini,Hashimuddin menceritakan bagaimana beliau terpikat dan akhirnya jatuh hati dengan pusat peranginan yang pada asalnya cuma bertaraf tiga bintang itu.

"Saya terpesona saat melihat matahari terbit dengan warna keemasan. Ianya pemandangan paling indah di dunia yang pernah saya lihat sepanjang hidup ini," katanya.

Pemandangan matahari terbit dan terbenam akan membuatkan pengunjung terpesona.

Keindahan resort ini tiada batasannya. Di hujungnya terdapat perairan indah Cactus Point dan Blue Lagoon yang dilimpahi batu karang dan hidupan laut jernih.

Perairan ini juga menjadi lokasi persemadian bangkai kapal USS Liberty, sekali gus menjadi lokasi paling ideal buat penyelam dan peminat snorkeling.

Pusat peranginan ini yang mengadap Laut Jawa.

Mencetuskan fenomena baru dalam industri pelancongan di Bali apabila pusat peranginan ini menjadi destinasi pertama di Bali yang menawarkan kemudahan beribadat kepada pengunjung Muslim dan menyediakan hidangan halal.

Dalam menikmati suasana menakjubkan, tetamu akan dimanjakan dengan aneka pilihan makanan tempatan dan antarabangsa yang enak.

"Selain mencari ketenangan dan ingin lari dari hiruk-pikuk luar, kita dapati pelancong yang masuk ke Bali, terutama dari timur tengah menghadapi masalah mendapatkan makanan yang benar-benar halal.

"Dengan membina 'dapur halal' dan surau, syarikat ini yakin sedang berada dalam landasan dan arah yang betul," ujarnya.

Hashimuddin turut merancang menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar tetamunya di lapangan terbang dengan helikopter.

Menawarkan tiga jenis pilihan penginapan iaitu Cottage, Villa dan Royal Suite persendirian, hampir kesemua penginapan yang ada disesuaikan dengan pemandangan lautan dan keindahan matahari terbit serta terbenam.

Villa peribadi gaya tropika terletak di cerun bukit berteres, dilengkapi jakuzi, kolam kecil dan taman peribadi. Bagi tetamu Royal Suite, disediakan perkhidmatan pelayan peribadi (butler) secara eksklusif.

Pemandangan dari salah sebuah bilik penginapan di sini.

Pusat kesihatan dan spa mewah dengan perkhidmatan aromaterapi, urut, rawatan muka, mandi wap dan jakuzi disediakan khas buat mereka yang ingin bersantai serta membelai diri.

"Kami berharap pusat peranginan yang baru diubah suai ini akan menjadi tarikan unggul kepada budaya Bali yang menakjubkan dan penuh mistik.

"Bukan hanya dihidangkan panorama indah, tetamu akan menikmati fasiliti bertaraf dunia yang memberi keselesaan terbaik sepanjang percutian.

"Saya yakin seluruh rakyat Malaysia akan berasa bangga dengan resort ini," katanya.

Hashimuddin ketika majlis mengumumkan pembelian dan pembangunan semula Emerald Resort and Spa, Bali.

Syarikat konglomerat Malaysia ini mempunyai rekod pencapaian membanggakan dalam bidang pembangunan hotel dan hartanah.

Antara projek terbaiknya termasuklah Pelangi Beach Resort, Langkawi, Pedu Lake Golf Resort, Exxon Mobil Tower Project KL, PJ Hilton, projek EDT (Electric Double Tracking) KL-Ipoh dan terminal utama KLIA.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: