Friday, August 27, 2010

Ellie Suriati Berlatih Vokal

Ellie melakonkan watak wanita berusia 60-an bernama Datuk Paduka Halimaton dalam drama bersiri Syurgamu Ramadan.

MEMEGANG watak wanita berusia 60-an bernama Datuk Paduka Halimaton membuatkan aktres berbakat besar, Ellie Suriati melatih vokalnya bagi mewujudkan realisme dalam drama bersiri Syurgamu Ramadan.

Drama 15 episod itu sedang disiarkan di TV3 pada setiap Selasa hingga Khamis, pukul 10.30 malam sejak 10 Ogos lalu.

Selain dirinya, turut membintangi drama tersebut ialah Eira Syazira, Zarina Zainoordin, Ungku Ismail Aziz, Aripah Damanhuri, Shahar Yaacob dan Nurul Elfira Loy.

Pada mulanya dia tertarik untuk melakonkan watak itu disebabkan jalan ceritanya mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan yang lincah dan agresif.

“Watak Halimaton melangkaui usia saya. Jadi, saya kena lakonkan supaya kena pada tempatnya.

"Saya rasa dari segi suara yang perlu saya tekankan kerana suara orang yang berusia 60-an biasanya tidak lantang dan tidak terlalu rendah.

“Oleh itu, saya sentiasa melatih vokal dan cara bercakap agar menjadi seperti apa yang diinginkan dalam diri Halimaton.

"Pengarah memberikan saya kebebasan untuk membuat apa yang tepat untuk Halimaton. Jadi, saya gunakan pengalaman berlatih vokal dan berteater sebagai rujukan,” ujarnya kepada mStar Online.

Selepas drama tersebut bersiaran, rata-rata penonton memuji lakonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) ini. Halimaton merupakan seorang ibu yang tegas, serta amat berpengaruh di kalangan kenalan.

Bagaimanapun, dia tidak mampu mengatur kehidupan anak perempuannya, Marlia, yang berkahwin dengan jejaka bukan pilihannya, Budi.

Sejak itu, Halimaton berdendam terhadap Marlia. Dia sebaliknya memberikan sepenuh perhatian kepada anak lelakinya, Yassin.

20 tahun berlalu apabila Halimaton mendapat khabar sedih, Marlia dan suaminya terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Ellie akui watak seperti Halimaton wujud di dunia realiti. Sebab itu dia cuba memberikan sesuatu yang kelihatan realiti agar penonton mampu menerima kesannya.

“Setiap wanita yang mempunyai anak akan melalui pengalaman itu dan pastinya mereka mahu dilayan dengan baik oleh anak-anak," ujarnya yang akan memberi kebebasan kepada anak-anaknya memilih hala tuju sendiri apabila mereka dewasa kelak.

Hasil perkahwinannya dengan aktor Azri Iskandar, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Azrel Omar Iskandar dan Nur Azreen Omar Iskandar manakala seorang lagi iaitu Nur Aliyah Omar Iskandar telah meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: