KUNJUNGAN kru Bersamamu yang terdiri daripada penerbitnya, Siti Hajar Abdullah, jurukamera Rahman Salim dan Pengerusi Aqsa Syarif Bhd, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berjaya merakamkan sebahagian daripada kisah-kisah keperitan hidup pelarian Palestin di Lubnan pada 6 Ogos lalu.
Ia sebuah siri yang harus ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama dapat menyelami penderitaan golongan yang ditindas itu.
Rakaman tersebut dipertonton dalam tiga episod khas Bersamamu : Bebaskan Bumi Palestin yang bersiaran pada 25 Ogos lalu serta 1 September dan 8 September akan datang pukul 9.30 malam.
Bersamamu akan menyorot kisah beberapa keluarga yang dikunjungi kru TV3 di kem pelarian di sana. Beberapa khemah pelarian dikunjungi seperti Kem Pelarian Sabra Shatila dan Kem Pelarian Barajneh di Beirut, Kem pelarian Beddewi di Utara Lubnan dan Kem Pelarian Tyre di Selatan Lubnan.
Untuk melihat bagaimana pelarian Palestin berbuka puasa, kru Bersamamu singgah di rumah seorang jurutera bertauliah, Fathi Habbosh yang tidak boleh bekerja kerana bertaraf pelarian.
Bagi menampung kehidupan keluarga, Fathi terpaksa menjual barangan runcit sekitar kem pelarian menggunakan kereta sorong untuk membesarkan anak-anak yang ramai.
Penonton Bersamamu juga dapat menyaksikan kunjungan rombongan ke kem Beddewi di Tarablus (Tripoli) di utara Lubnan yang meninjau keadaan klinik dan sekolah pekak dan bisu.
Kempen Bebaskan Bumi Palestin dilancarkan oleh TV3 bersempena dengan sambutan ulang tahun stesen televisyen itu yang ke-26 pada Jun lalu.
Kempen tersebut bertujuan menyampaikan mesej murni, meningkatkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat Malaysia supaya insaf dan mengambil iktibar terhadap kejadian yang menimpa rakyat Palestin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: