Monday, August 23, 2010

Elak perut terkejut

PASTI ramai antara kita yang culas menye­diakan hidangan bersahur kerana tidak biasa menyediakan sajian awal pagi lalu memilih santapan ringkas seperti bijirin tiga dalam satu yang hanya memerlukan air panas untuk menikmatinya.

TINGGI SERAT...antara makanan yang perlu diambil ketika bersahur untuk elak cepat lapar.
TINGGI SERAT...antara makanan yang perlu diambil ketika bersahur untuk elak cepat lapar.

PENTING...jangan abaikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang Ramadan. RINGKAS...bersahur dengan oat mampu kurangkan rasa lapar ketika berpuasa. BIJIRIN...pelbagaikan hidangan oat bersama buah-buahan. BIAR SEIMBANG...kekacang antara pilihan protein untuk bersahur.


PENTING...jangan abaikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang Ramadan.
Namun, Pakar Pemakanan Kanan, Pusat Perubatan Sunway, Ho Wan Mi tidak menggalakkan umat Islam bersahur dengan cara itu memandangkan ia tidak mendatangkan kebaikan untuk tubuh kerana ia kekurangan khasiat sepatutnya.


“Bukan tidak boleh, tetapi lebih baik mengambil hidangan pejal daripada bijirin segera kerana ia kurang memberi zat dan nutrien yang diperlukan tubuh bagi menghadapi puasa.


“Bijirin segera itu sebenarnya kurang oat, tetapi mempu­nyai lebih banyak gula, jadi sememangnya ia tidak sesuai dijadikan sebagai makanan untuk bersahur.


“Ini kerana tubuh memerlukan serat dan protein bagi mengelakkan mudah rasa lapar.


“Seelok-eloknya, bancuh sendiri oat dan hidangkan bersama buah-buahan seperti kurma, strawberi, barli dan aprikot. Itu jauh lebih baik dan lebih berkhasiat,” katanya.


Tambah Ho, tiada zat atau nutrien khusus yang perlu diambil untuk mengelakkan lapar, tetapi ia bergantung kepada diet keseluruhan yang diambil ketika bersahur.


“Untuk bersahur biasanya kami sarankan mengambil makanan yang mampu memberi tenaga tahan lama seperti makanan tinggi kandungan serat serta protein.


“Serat mengambil masa yang lama untuk dihadam. Oat misalnya, segera memberikan rasa penuh ketika mengambilnya, tapi jarang membuatkan kita berasa cepat lapar. “Namun pada masa sama, pentingkan juga diet pemakanan seimbang. Kalau boleh lebih baik dalam setiap hidangan itu mempunyai karbohidrat, protein, serat dan vitamin,” ujarnya.


Antara hidangan mudah yang disarankan Ho ialah campuran oat bersama susu rendah lemak dan kurma. Kurma juga boleh digantikan dengan buah-buahan lain mengikut selera masing-masing.


Bagi yang gemar mengambil hidangan nasi ketika bersahur, cuba gantikan nasi putih dengan nasi perang dan dimakan bersama hidangan sayur-sayuran serta protein seperti ikan.Boleh juga mengambil roti sebagai ganti nasi dan dijadikan sandwic tuna. Jika tidak gemarkan tuna, boleh digantikan bersama ayam panggang dan elakkan bahagian kulit.


Andainya benar-benar tidak sempat untuk menyediakan hidangan lengkap, cukup de­ngan pengambilan buah pisang bersama yogurt, susu rendah lemak dan oat.


Pada masa sama, Ho turut menggesa umat Islam menepati cara berbuka dua atau tiga peringkat di mana hanya mengambil makanan berat selepas solat Maghrib, Isyak atau menunaikan Tarawih.


Malah, cara itu turut diamal­kan Nabi Muhammad s.a.w di mana Baginda sekadar berbuka dengan buah kurma dan segelas air lalu segera menunaikan ibadat solat.“Sememangnya cara itu diamalkan kerana ia boleh mengelakkan perut ‘terkejut’ dengan kehadiran makanan yang banyak selepas kosong sepanjang hari.


“Apabila berbuka juga ja­nganlah terlalu banyak minum air dan sebaiknya mengambil buah-buahan atau kuih-muih. Hanya selepas solat Maghrib, Isyak atau Tarawih, bolehlah mengambil makanan berat dan minum banyak air,” katanya.


Ada juga di kalangan kita yang tidak begitu berselera makan, tetapi lebih mementingkan minuman hingga leka minum bergelas-gelas hingga membuatkan perut cepat penuh.


“Walaupun berpuasa, kita mesti mementingkan pe­ngambilan air lapan segelas sehari. Sebaik-baiknya ambil dua gelas ketika sahur dan baki enam gelas lagi selepas berbuka sehingga sebelum tidur.


“Tidak salah minum lebih tiga gelas ketika bersahur, tapi bila kita minum dengan banyak, ia membuatkan perut tidak larat untuk menampung makanan lain.


“Apabila kekurangan makanan, terutama yang tinggi serat dan protein, ia boleh membuatkan kita cepat lapar ketika berpuasa dan badan menjadi letih kerana ketiadaan tenaga. “Jadi pengambilan minuman yang teratur, badan tetap mendapat bekalan air mencukupi tapi pada masa sama, ia tidak mengganggu perut daripada menahan makanan yang berfungsi sebagai pemberi tenaga kepada tubuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: