MASIH ingat anda pernah membantu ibu atau nenek membuat kuih tradisional seperti bahulu, putu kacang, kuih ros dan kuih kapit?
Zaman sekarang semuanya mudah dengan kewujudan ketuhar serba guna yang mewah dan memudahkan kerana menggunakan kuasa elektrik.
Orang dulu juga, sekiranya memukul telur bagi kuih bahulu, pasunya juga besar dan pasti tangan sakit dan bengkak kerana semua dibuat secara manual.
Begitu juga dodol yang amat popular di Melaka, zaman dulu ada yang perlu menggiling beras pulut dengan lesung atau penggiling berkati-kati banyaknya.
Tetapi yang nyata, resipi kuih raya tradisional selalunya tidak meleret-leret campurannya. Mungkin keadaan orang zaman dulu yang susah, ini membuatkan kuih-muih direka menggunakan bahan yang asas saja.Jika kita sudah biasa dengan kuih tradisional di Semenanjung Malaysia, bagaimana pula Sarawak yang turut terkenal dengan keunikan makanannya?
Suri rumah dan ibu seorang anak, Haminah Sat, 50, pasti membuat kuih kuyak setiap Syawal.Kuih kuyak kelihatan seperti putu kacang saja tetapi sebenarnya rasanya amat berbeza kerana ada lada dan gula apung sebagai bahannya selain tepung beras.
Haminah yang tinggal di Kampung Ulu Semera, Sadongjaya, Sarawak, kira-kira 120 kilometer (km) dari Kuching dan 78km dari Kota Samarahan, mula belajar membuat kuih kuyak ketika umurnya 21 tahun.
Jika orang lain berasakan remeh dan susah, Haminah sudah terlalu biasa dengan rutin itu.
"Tidak susah membuatnya cuma memakan masa terutama proses menggorengnya. Beras perlu digoreng sampai garing dan kerana itu, ia memerlukan dua hari untuk menyiapkannya," katanya.
Proses bermula dengan menggoreng, menumbuk padi pansuh dan menjadikannya tepung pada hari pertama. Keesokan pula, proses menempa dan menjemur.
"Membuat kuyak mesti melihat cuaca juga. Sekiranya hujan, tepung disimpan sehingga cuaca panas kembali.
"Saya belajar membuatnya daripada arwah nenek, Baani Cipik. Selalunya kami mula membuat kuih ini pada puasa ke-15 dan menghasilkannya dalam kuantiti yang banyak. Tidak seperti sekarang, paling banyak pun tiga kilogram saja," katanya.
Menurut Haminah, kuih kuyak digemari keluarganya terutama suami, ibu dan anaknya. Pendek kata ia disukai ramai tidak kira muda ataupun tua.
Rasanya enak, lemak, manis dan pedas saling berbaur untuk mewujudkan cita rasa yang unik sekali.
Beras pansuh yang digunakan pula ialah beras istimewa kerana ia adalah beras yang baru dituai. Tentu saja hasilan kuih kuyak enak dan harum aromanya kerana menggunakan bahan yang terbaik. Namun untuk mendapatkan beras pansuh bukanlah sesuatu yang mudah.
Tetapi, demi kasih sayang terhadap keluarga tercinta, segalanya diusahakan untuk menghasilkan kuih kuyak paling enak supaya keluarga dan orang yang datang beraya puas memakannya.
Semoga kuih ini tidak lapuk dek panas tak lekang dek hujan serta diwarisi pembikinannya oleh warga muda.
Resipi:
1kg beras pansuh (padi sawah atau huma yang baru dituai, direbus kemudian dijemur)
1kg gula nipah atau apung
Sedikit serbuk lada putih
Cara membuatnya:
1. Beras pansuh digoreng tanpa minyak hingga garing menggunakan api yang perlahan.
2. Kemudian beras itu ditumbuk sampai halus menjadi tepung dan tepungnya diayak.
3. Tepung yang sudah diayak tadi digaul dengan serbuk lada putih (ikut cita rasa kepedasan sendiri) dan gula nipah sampai sebati dan tidak melekit. Ia berdebu tetapi lembap.
4. Sebelum memasukkannya dalam acuan, masukkan sedikit serbuk lada putih dahulu.
5. Adunan yang sudah digaul ditekan sehingga padat dan mampat. Buat satu persatu sehingga habis.
6. Untuk mengeluarkan kuih yang ditempa di dalam acuan, hentak acuan ke dalam talam atau bekas.
7. Jemur beberapa jam pada panas matahari sehingga keras.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: