SEREMBAN: Ramadan tahun ini menjadi titik hitam buat keluarga seorang kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan anggota sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkorban dalam dua kemalangan berasingan di sekitar bandar ini.
PILU....ahli keluarga berada di sisi mayat Yusof yang maut dalam nahas, kelmarin. Gambar kecil, Yusof.
Mangsa dan anaknya, Mohd Faizal, 15, dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Pilah untuk pulang ke rumah di sekitar Ampangan, di sini.
Jurucakap polis berkata, pemandu kereta Proton Wira berkenaan sebelum itu dipercayai tidak mengetahui jalan dinaik taraf terbabit menjadi dua lorong untuk kedua-dua destinasi iaitu Seremban dan Kuala Pilah. “Berikutan itu, pemandu kereta berkenaan memotong kenderaan lain lalu bertembung sebuah motosikal di laluan bertentangan sehingga menyebabkan mangsa dan anak lelakinya terpelanting.
“Pertembungan menyebabkan mangsa yang cedera teruk di kepala dan kaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya cedera ringan,” katanya di sini, semalam.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kejadian kedua, seorang anggota sukarela ATM, Mohd Sani Mohd Ali, 24, maut selepas motosikalnya bertembung lori di Jalan Bukit Chedang menuju Taman Permai, di sini, semalam.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa dikatakan tidak perasan sebuah lori membawa muatan pasir mahu memasuki lorong kiri di kawasan berkenaan.
“Berikutan itu, motosikal mangsa merempuh lori terbabit mengakibatkan dia mengalami kecederaan teruk sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke HTJS untuk bedah siasat.
Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Inspektor Mohd Hafizal Zainal Abidin di talian 06-6033394 atau balai polis berdekatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: