RAMADAN tidak menghalang anak wayang untuk terus berlakon walaupun ada yang terpaksa berbuka dan bersahur di lokasi penggambaran.
SERASI...saksikan gandingan Nabila dan Ady dalam telemovie Emily.
Nabila yang memulakan perbualan berkata, jadual lakonannya tetap padat sepanjang Ramadan kerana terikat dengan dua penggambaran iaitu telemovie Emily manakala sebuah lagi drama 13 episod, Ahmad Durrah.
“Dua hari lepas saya berada di Pulau Pinang kerana terikat dengan penggambaran Ahmad Durrah arahan Raja Ahmad Alaudin dan hari ini pula (Selasa lalu), saya terbabit pula dengan telemovie Emily.
“Selesai penggambaran Emily di sini (Kuang, Selangor), saya akan pergi semula ke Pulau Pinang untuk menyiapkan baki penggambaran Ahmad Durrah yang dijangka selesai penggambarannya pada 30 Ogos ini.
“Memang benar Ramadan sepatutnya kita manfaatkan bersama keluarga tapi saya merasakan itu bukan satu masalah kerana kewajipan itu masih boleh dilakukan walau di mana kita berada,” kata Nabila yang turut membawa puteri sulungnya, Keisha Laila, 3 bulan, ke Pulau Pinang.Ditemui Rap di lokasi Emily di Kuang, Selasa lalu, Nabila yang bergandingan dengan Ady Putra sempat bercerita serba sedikit mengenai wataknya sebagai Emily.
Katanya, Emily mengisahkan seorang remaja perempuan belasan tahun yang begitu mencintai muzik namun dipaksa berkahwin dengan seorang pelukis kerana ingin menunaikan hajat arwah abangnya.
“Walaupun tidak bersetuju Emily terpaksa akur mengahwini Uria secara kontrak selama enam bulan. Sepanjang perkahwinan mereka, Emily menggunakan Uria (Ady Putra) habis-habisan dan sering berkasar dengannya.
“Namun masalah timbul apabila pada saat perceraian semakin dekat, Emily mula menyedari dia sebenarnya jatuh hati kepada Uria.
“Kelainan watak saya dalam Ahmad Durrah pula, kalau sebelum ini sering disogok watak gadis liar dan jahat menerusi Ahmad Durrah, saya memainkan watak gadis bertudung yang sangat baik bernama Fatanah.
“Dia seorang yang sanggup berkorban demi kebahagiaan teman baiknya yang sudah lama menyukai Durrah. Tanpa disangka, dalam diam, Durrah sebenarnya menyimpan perasaan terhadap dirinya (Fatanah),” katanya.
Pada petang yang damai itu, berlokasikan sebuah kediaman ala Villa, Ady Putra pun sempat berkongsi aktivitinya di bulan yang mulia ini.
Ternyata, sama saja seperti Nabila, jadual Ady juga padat dengan temujanji di lokasi penggambaran.
“Saya baru selesai penggambaran telemovie Air Mata Salina dan sekarang masuk pula kena berada di set Emily. ‘Shooting’ dijangka habis 14 Ogos ini. Kedua-dua telemovie ini arahan Erma Fatima.
“Insya-Allah, selesai saja komitmen saya terhadap Emily, saya akan terbabit dalam projek seterusnya iaitu drama bersiri 28 episod berjudul Cinta arahan Feroz Kadir.
“Penggambaran dijangka bermula 12 Ogos nanti dan selesai sekitar Oktober. Cinta adalah watak yang dibawakan Fasha Sandha. Saya pula menggalas cabaran untuk menghidupkan dua watak iaitu Amar sebagai pengawal peribadi yang jatuh hati kepada majikannya, Cinta dan satu watak lagi Iman Rasul iaitu peguam mahkamah syariah yang mengendalikan kes Cinta.
“Amar dan Iman mempunyai wajah yang sama namun berbeza perwatakan. Mereka juga tiada kaitan dalam cerita ini. Kemunculan dua watak ini mencipta satu tragedi. Semestinya ia mencabar kerana satu watak saya agak pendiam dan satu lagi kena berhujah,” katanya.
Menafikan drama Cinta adalah kesinambungan dari filem Cinta, jelas Adi kedua-dua naskhah tiada pautan langsung .
Menyingkap serba-sedikit perwatakannya dalam Emily yang bakal ke udara pada 21 Ogos ini menerusi slot Cerekarama, jam 10 malam di TV3, Ady berkata:
“Uria adalah teman baik abang Emily. Dia tidak pernah mengenali siapa Emily, cantik atau tidak orangnya tapi bersetuju mengahwini gadis itu kerana janji Uria kepada abang Emily yang tenat.
“Kali pertama bertemu Emily, Uria memang tertarik dengan Emily yang nampak sempurna di matanya. Namun dia tidak begitu menyukai sikap Emily yang kasar. Akhirnya mereka mula serasi.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Ady menegaskan keletihan menjalani penggambaran sepanjang Ramadan bukan alasan untuk meninggalkan ibadat itu dengan sengaja.
“Alhamdulillah, kalau tidak silap, belum pernah lagi saya ponteng puasa sewaktu menjalani penggambaran di bulan yang mulia ini,” katanya.
PROFIL
NAMA: Mohamed Hadi Putera Halim
NAMA PENTAS: Ady Putra
TARIKH LAHIR: 26 Februari 1981
TEMPAT LAHIR: Singapura
USIA: 29 tahun
ZODIAK: Pisces
ISTERI: Aida Yusof
ANTARA DRAMA: Haryati 2, Aku Cinta Padamu, Kelahiran Teristimewa, Akukah Tanggang?, Mat Jenin, Mya Zara, Kala Hati, Na O Mei, Air Mata Salina, Emily dan Cinta.
ANTARA FILEM: Anak Halal (2007), Akhirat (2008), Histeria (2009), Hanyut (2010) dan KL Gangster.
ANTARA TEATER: Rubiah dan Sri Mersing (2010)
NAMA: Nabila Huda Suhaimi
PANGGILAN: Nabila atau Abil
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 26 tahun
ZODIAK: Sagittarius
SUAMI: Zaidy Zailani
ANAK: Keisha Laila
ANTARA DRAMA: Impak Maksima, Di Luar Itu Bukan Syurga, Golliwog, Diari Dewi, Serkam Cinta, Kerana Budi, Cinta Untuk Ain, Sutra Maya, Sari Maya dan Cinta Dia.
ANTARA FILEM: Rock, Bohsia dan Akhirat
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: