
KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki membeli tiket penerbangan ke Istanbul, Turki bagi tujuan melancong dan berjoli menggunakan kad kredit palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Sabtu lalu berakhir dengan kedua-duanya terpaksa menginap beberapa hari di lokap polis KLIA.
Ketika ditahan pada pukul 7.30 malam, suspek sedang menggores kad kredit palsu di kaunter pembelian tiket penerbangan di KLIA bagi pembelian dua tiket pesawat untuk penerbangan ke Istanbul pada pukul 8 malam hari sama.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki itu kemudian menemui beberapa lagi kad kredit palsu pada badan suspek yang dipercayai mahu digunakan untuk berjoli dengan membeli pelbagai barangan di Istanbul.
Salah seorang suspek yang ditahan itu merupakan rakyat Singapura dan pihak polis masih menyiasat sama ada rakyat negara jiran itu merupakan dalang dalam kegiatan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa (gambar) berkata, susulan penahanan kedua-dua lelaki itu, polis kemudian mendapat maklumat mengenai dua lagi lelaki yang menggunakan kad kredit palsu telah berada di Istanbul dan akan pulang ke negara ini melalui KLIA pada keesokan harinya.
“Pada hari Ahad pukul 5.45 pagi, polis telah ‘menyambut’ ketibaan dua lelaki itu di KLIA setelah sampai dari makan angin di Istanbul,” kata beliau di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: