Tuesday, August 24, 2010

Dendam Dan Cinta Dua Generasi Dalam "Injustice"

Barisan pelakon Injustice: Wee Kheng Ming, Emily Lim, Alan Yun, Soo Wincci, William San, Tiffany Leong, Chris Tong dan Zzen Zhang.

BERMULA 23 Ogos lalu, ntv7 mempersembahkan drama bersirinya iaitu Injustice, yang ke udara setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 hingga 11 malam.

Drama 25 episod itu menampilkan dua tema yang tidak asing lagi dengan kita, iaitu cinta dan dendam dua generasi.

Ia menceritakan tentang kehidupan Shuman lakonan Tiffany Leong, seorang anak yatim berusia 24 tahun, dibesarkan oleh ibunya yang menghidap penyakit mental.

Setiap kali ibu Shuman terkenang akan mendiang suaminya, dia akan diserang histeria dan jatuh sakit. Shuman pula tidak mempunyai banyak memori mengenai ayahnya.

Apa yang Shuman dapat mengingati adalah menyaksikan ayahnya melarikan diri dari pegawai anti-narkotik yang cuba memberkasnya kerana memiliki dadah.

Dalam percubaan untuk melepaskan diri, ayah Shuman telah terkorban. Tragedi itu mengakibatkan Shuman dihantui oleh kematian ayahnya bertahun-tahun dan sering mengalami mimpi buruk.

Sepanjang tempoh pergolakan hidupnya, teman-teman rapat Shuman iaitu He Jingchun yang dilakonkan oleh Emily Lim dan Shunyuan sentiasa setia berada di sisinya.

Jingchun adalah seorang yang baik hati, penyayang dan sentiasa ingin mengembirakan rakan-rakan yang mendampinginya. Malangnya dia tidak mempunyai pendirian dan mudah terpengaruh oleh rakan-rakan sehingga sanggup membuat apa sahaja demi cinta dan persahabatan.

Di sebuah pertandingan ratu cantik, ketiga-tiga sahabat ini telah bertemu dengan Zhao Yutian (Chris Tong), seorang anak manja kepada jutawan teh iaitu Zhao Shilin (Phua Chee Kin).

Walaupun pada mulanya Shuman dan Jingchun mempunyai perselisihan faham yang berpanjangan dengan Yutian, mereka akhirnnya menjadi teman baik.

Pertemuan secara kebetulan di antara ibu Shuman dengan Shilin telah mengimbas kembali akan peristiwa lampau dan menyebabkan dia menuduh Shilin mengakibatkan kematian suaminya.

Disebabkan tekanan mentalnya yang semakin teruk selepas terserempak dengan Shilin, ibu Shuman mengambil jalan pintas lalu membunuh diri.

Kata-kata terakhirnya kepada Shuman supaya Shilin dihadapkan ke muka pengadilan. Kematian ibu Shuman akhirnya mendorong Shuman untuk membalas dendam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: