KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mencari pelanggan dalam urusan perniagaannya diperdaya dua lelaki yang berpura-pura berminat sebelum melarikan telefon bimbitnya yang mengandungi pelbagai nombor peribadi pelanggan lain, kelmarin.
KESAL...Isyak menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dan gambar dua suspek yang berjaya dirakam CCTV.
Isyak Bidin, 43, berkata dia ada mengiklankan untuk mencari pelanggan dalam akhbar sebelum dihubungi dua lelaki yang berpura-pura berminat dengan perniagaannya.
Katanya, mereka berpakat bertemu di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ampang di sini.
Beliau berkata, dia dan dua lelaki terbabit berjumpa kira-kira jam 8.20 malam, Jumaat lalu selepas berbuka puasa.
“Saya datang bersama seorang lagi rakan sebelum lelaki terbabit bertanya dan berbincang perkara berkaitan perniagaan saya,” katanya.
Menurutnya, selepas hampir setengah jam berbual, dia cuba menghubungi rakannya kononnya ingin menyertai perniagaannya.
“Selepas mendail beberapa kali, lelaki terbabit gagal bercakap dengan rakannya sebelum dia meminjam telefon saya. Lelaki itu keluar dari hotel dengan alasan untuk menunggu rakannya itu tiba di hotel berkenaan.
Isyak berkata, selepas hampir setengah jam menunggu, dia berasakan sesuatu tidak kena dan jangkaannya tepat apabila lelaki terbabit menghilangkan diri bersama rakannya.
“Meja makan yang ditempahnya berharga RM350 perlu saya bayar kerana lelaki itu tidak membayarnya, malah menipu kononnya menginap di hotel itu.
“Selepas saya menyemak buku tempahan hotel berkenaan, lelaki itu menggunakan nama samaran Zack,” katanya.Menurutnya, dia tidak melaporkan kejadian itu kepada polis kerana terkejut.
Katanya, pulang saja ke rumah, dia terkejut apabila ada individu yang menghubungi isterinya, malah ada yang datang ke rumah bertanyakan kenapa dia meminta duit daripada mereka.
Sejurus selepas itu, mangsa mengemukakan laporan di Balai Polis Salak Selatan sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak pembekal telekomunikasi supaya talian telefonnya dipotong.
Lelaki terbabit dipercayai menggunakan semua nombor dalam telefon mangsa untuk meminta wang daripada kenalan mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: