Thursday, August 26, 2010

CERIA RAYA Suria FM

Kita selalu mendengar deejay radio berceloteh, kini tiba giliran penyampai Suria FM menunjukkan kehebatan mereka dengan kehadiran album raya berjudul Ceria Raya. Kompilasi lagu raya ini memuatkan 10 buah lagu raya termasuk dua lagu baru hasil nyanyian penyampai Suria FM.


Halim Othman, Linda Onn dan Zizi mendendangkan lagu Suria di Pagi Raya manakala lagu kedua yang berjudul Sebulan Berhari Raya adalah hasil nyanyian Tuah Zoqarnain, Myra, Naim, Bob, Lin, Halim Othman, Linda Onn dan Zizi.

Ini merupakan kali kedua di mana semua penyampai Suria FM merakamkan suara selepas rakaman lagu medley yang dinyanyikan semasa Konsert Kemuncak Suria FM 2010 yang lalu.

"Selalunya artis ada album sendiri, kini kami cuba tampilkan kelainan dengan deejay menyanyi dalam album. Kami cuma mahu berikan sesuatu untuk memeriahkan lagi suasana. Setakat ini kami keluarkan 150,000 unit dan ianya merupakan hadiah untuk ditebus di kaunter Tesco terpilih.

"Bakat mereka menyerlah dan sebab itu album ini diterbitkan dengan kerjasama NSR Records dan Tesco (M) Sdn Bhd. Lagu raya ini akan mula diputarkan di Suria FM mulai 15 Ramadhan," ujar Subarma Mohtaruddin, Pengarah Strategi dan Latihan Suria FM.

Antara lagu yang terdapat dalam album ini adalah Selamat Hari Raya - Saloma, Balik Kampung - Sudirman, Pulanglah Berhari Raya - Aishah dan banyak lagi. Album ini boleh diperolehi di seluruh Tesco Mall yang terpilih. Caranya ialah dengan satu resit pembelian barangan bernilai RM50 ke atas.

Selain itu, Suria FM juga bakal mengadakan showcase album Ceria Raya bermula pada 21 Ogos di Tesco Johor Bahru, 28 Ogos di Tesco Melaka manakala 4 September di Tesco Sg. Petani. Showcase ini bakal dimeriahkan dengan barisan artis terkenal tanahair.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: